Attiya Spa Buka Cawangan Ketiga di Sibu, Fokus Perkasa Wanita B40
SIBU: Attiya Spa terus komited memperkasa golongan wanita di Sarawak menerusi inisiatif sosial korporatnya, Women of Strength, yang kini diperluas ke Sibu melalui pembukaan cawangan ketiganya selepas Kuching dan Kota Kinabalu.
Majlis pelancaran yang berlangsung di premis baharu Attiya Spa Sibu di Hann’s Residence Commercial Centre pada Ahad itu dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, yang turut menyatakan penghargaan terhadap usaha murni Attiya dalam membantu wanita B40, khususnya ibu tunggal menjana pendapatan sendiri.
“Program ‘Women of Strength’ memberi peluang latihan kemahiran kepada wanita, sekaligus membantu mereka keluar daripada kitaran kemiskinan.
“Ia seiring dengan hasrat kementerian untuk memperkasakan wanita menerusi inisiatif menjana pendapatan,” katanya dalam ucapan perasmian.
Menurut Dato Sri Fatimah, kejayaan beberapa peserta program yang kini mampu berdikari dan menyara keluarga merupakan bukti keberkesanan pendekatan yang digunakan Attiya.
Beliau turut mencadangkan agar cawangan Attiya dibuka di Bintulu dan Miri, memandangkan kedua-dua kawasan itu memiliki potensi pertumbuhan ekonomi serta bilangan penduduk yang tinggi.
Menyentuh aspek kepercayaan pelanggan, beliau turut memuji kesungguhan pihak Attiya dalam mengekalkan persekitaran perkhidmatan profesional, mesra pelanggan serta menitikberatkan privasi dan keperluan Muslim.
“Ketika kunjungan saya ke cawangan Attiya di Kuching, saya lihat suasana sangat profesional dan menepati piawaian antarabangsa.
“Perkhidmatan mesra Muslim, termasuk bilik khas dan juruurut wanita, menunjukkan komitmen Attiya terhadap kepelbagaian pelanggan,” jelas beliau.
Beliau juga menyeru agar pemimpin komuniti di peringkat akar umbi memainkan peranan menyebarluaskan maklumat mengenai peluang latihan yang ditawarkan agar lebih ramai wanita mendapat manfaat.-EDISI UKAS