KUCHING: Sarawak perlu membangunkan keupayaan teknologi sendiri bagi melindungi data strategik negeri daripada ancaman keselamatan siber yang semakin kompleks dalam era digital masa kini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Sarawak mempunyai undang-undang siber yang melindungi dan mengawal data namun ia perlu disokong dengan teknologi keselamatan yang mampu menangkis pencerobohan pihak luar.
"Kita juga memerlukan teknologi kita sendiri untuk melindungi atau apa yang disebut sebagai data terenkripsi (encrypted data).
"Cara kita melindungi data sangat bergantung kepada teknologi kerana ada juga teknologi yang boleh memecahkannya, sekali gus menggagalkan usaha melindungi data.
"Ia memerlukan teknologi melawan teknologi, jadi kita serahkan kepada saintis untuk mengetahui bagaimana melindungi data kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutupan Protect Sarawak 2026 – International Conference on Data Privacy and Digital Trust di Kuching, pada Rabu.
Premier Sarawak menambah, perlindungan data sepatutnya berbentuk pengasingan yang mempunyai tembok perlindungan dan tidak boleh dibuka.
Namun jelasnya, terdapat teknologi yang menggunakan sistem pengkomputeran yang canggih menggunakan cip untuk memintas data terutamanya penyimpanan data akan beralih ke arah grid kecerdasan buatan (AI) menggunakan satelit.
Tambahnya, peperangan dunia kini juga beralih ke arah penggunaan cip tanpa menggunakan jet pejuang namun misil yang dikawal oleh cip.
"Apabila anda melihat peperangan sekarang, semuanya bergantung pada kekuatan cip, sebab itu ia sangat rumit tetapi kita tidak mempunyai pilihan.
"Dunia sekarang memang begitu di mana peperangan masa kini tidak hanya menggunakan jet pejuang sahaja.
"Lihat perang Iran sekarang yang menggunakan misil, dan misil itu semuanya dikawal oleh cip, maka sebab itulah kita juga mengeluarkan cip kita sendiri," jelasnya. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhammad Rais Sanusi