Kunjungan Hormat Buka Lembaran Baharu Kerjasama Sarawak & Pahang
KUANTAN: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail pada Rabu dalam usaha memperkukuhkan hubungan kerjasama dua hala antara Sarawak dan negeri Pahang.
Datuk Amar Awang Tengah mengetuai rombongan Kerajaan Sarawak yang kini berada di Kuantan sempena penganjuran Showcase Usahawan Sarawak 2026 di Kuantan City Mall, sebuah program yang mempromosikan produk serta potensi usahawan Sarawak ke pasaran Semenanjung Malaysia.
Turut mengiringi beliau ialah Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Dato Sri Naroden Majais serta Setiausaha Tetap MINTRED, Datu Lester Matthew.
Hadir sama dalam sesi pertemuan tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Mohamad Nizar Mohamad Najib serta Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar.
Dalam perbincangan berkenaan, kedua-dua pihak menyentuh pelbagai perkara berkepentingan bersama termasuk usaha memperkukuh hubungan ekonomi dan perdagangan antara Sarawak dan Pahang.
Antara perkara utama yang dibincangkan ialah potensi mewujudkan perkhidmatan logistik yang lebih efisien antara kedua-dua negeri, termasuk cadangan penerbangan langsung bagi memudahkan pergerakan pelancong, usahawan serta pelabur.
Selain itu, kerjasama antara pelabuhan di Pahang dan Sarawak turut dilihat mampu meningkatkan aktiviti perdagangan, khususnya dalam industri halal serta pelancongan kapal persiar.
Kerjasama dalam industri kreatif seperti songket juga diberi perhatian, memandangkan ia mempunyai nilai budaya tinggi serta potensi besar untuk dikomersialkan ke peringkat lebih luas.
Menurut Datuk Amar Awang Tengah, Sarawak sentiasa terbuka untuk memperluaskan kerjasama strategik dengan negeri-negeri lain demi manfaat bersama, khususnya dalam bidang perdagangan, pelancongan, pelaburan dan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang atas sambutan mesra serta komitmen dalam memperkukuh hubungan erat yang telah lama terjalin antara kedua-dua negeri.
Lawatan tersebut mencerminkan semangat kerjasama erat antara wilayah dalam Persekutuan Malaysia serta usaha berterusan memperkasa ekonomi domestik melalui jaringan strategik antara negeri. - EDISI UKAS