100 Pelajar Sertai Program Next Gen Leaders di Sri Aman
SRI AMAN: Program ‘Next Gen Leaders – Be the Leader, Unlock Your Future’ yang menghimpunkan 100 pelajar sekolah menengah dari sekitar Sri Aman menjadi pendekatan strategik dalam melahirkan generasi muda yang berintegriti, berwibawa dan pelapis pemimpin masa depan.
Inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pemerkasaan dan Kesihatan Komuniti DUN N28 Lingga yang diadakan di Hotel Sri Simanggang pada Rabu itu bertujuan membentuk serta memupuk ciri kepimpinan dalam kalangan pelajar sejak usia muda.
Program diadakan selama tiga hari bermula hari ini menghimpunkan pelajar daripada empat sekolah menengah sekitar Sri Aman iaitu SMK Lingga, SMK Simanggang, SMK St. Luke dan SMK Sri Aman, dengan setiap sekolah diwakili 25 pelajar serta dua guru pengiring.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N28 Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, inisiatif berkenaan memberi penekanan kepada peningkatan keyakinan diri, kemahiran komunikasi, pemikiran kritis serta semangat kerja berpasukan dalam kalangan peserta.
“Usaha seperti ini penting bagi melahirkan generasi muda yang berintegriti, berwibawa dan mampu menjadi pelapis pemimpin masa depan,” katanya ketika merasmikan program tersebut.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak komited dalam pembangunan pendidikan termasuk melaksanakan pendidikan percuma kepada pelajar Sarawak yang melanjutkan pengajian tinggi bermula 2026 di empat institusi milik kerajaan negeri.
Sepanjang program, peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti kepimpinan yang dikendalikan oleh fasilitator berpengalaman diketuai oleh Dr. Nur Aida Kipli dari Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Cawangan Sarawak, bersama Jurutera Kanan Black Dot Management Sdn Bhd, Ir. Masayu Kiprawi.
Majlis penutupan dan penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan program tersebut merupakan platform penting dalam memperkasa pelajar dengan nilai kepimpinan, daya saing serta persediaan menghadapi cabaran masa hadapan.
“Para pelajar perlu memanfaatkan peluang pendidikan dan pembangunan modal insan yang disediakan bagi meningkatkan kebolehpasaran diri serta membina masa depan yang lebih cemerlang,” ujarnya.
Pelbagai aktiviti penilaian turut diadakan sepanjang program termasuk pemilihan Pelajar Terbaik, Belia Harapan, Kumpulan Terbaik serta Pembentangan Terbaik, selain cabutan bertuah sebagai galakan kepada peserta.-EDISI UKAS