Sarawak Sasar Aplikasi Model Grid AI Pada Masa Hadapan
KUCHING: Sarawak sedang meneliti peralihan ke arah penggunaan model Grid Kecerdasan Buatan (AI) sebagai pendekatan masa depan teknologi digital, dengan pusat data konvensional dijangka menjadi lapuk dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kerajaan negeri sememangnya memiliki pusat data sendiri, namun beliau melihat model tersebut tidak lagi relevan untuk jangka panjang.
"Maksud saya, saya melihat dari sudut itu, daripada kita menggunakan elektrik sebanyak 200 megawatt, lebih baik kita gunakan untuk projek perintis satelit kita sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutupan Protect Sarawak 2026 – International Conference on Data Privacy and Digital Trust di Kuching, pada Rabu.
Premier Sarawak menambah, beberapa negara Kesatuan Eropah seperti Itali dan Sepanyol sudah mula menggunakan rangkaian grid AI tersebut yang dijangka akan berkembang ke seluruh dunia.
Ujarnya, Sarawak akan menggunakan model yang telah sedia ada untuk digunakan di negeri ini pada masa hadapan bagi menerajui pembangunan digital dan inovasi masa depan.
Mengulas lanjut, Premier Sarawak dalam ucaptamanya memberitahu, AI Grid ini akan menjadi teknologi baharu di mana data akan disimpan menggunakan sistem 'cloud' hasil fungsi nanosatelit di orbit rendah bumi.
Melalui sistem itu ujarnya, data boleh diakses semula menggunakan isyarat berkelajuan tinggi dari orbit ke bumi secara masa nyata ditambah dengan perkembangan tersebut didorong oleh kemajuan 'Large Language Model (LLM)' yang memperluaskan keupayaan kecerdasan buatan dalam pemprosesan data segera.
"Disebabkan itu, saya fikir kita tidak lagi memerlukan pusat data kerana semuanya saling berhubung.
"Bayangkan sahaja, anda mahu mengetahui pasal saya, anda hanya 'ketek ajak' dan semuanya tersedia dan itulah yang akan berlaku pada masa depan," jelas beliau.
Datuk Patinggi Abang Zohari turut menjangkakan penguasaan data global akan terus tertumpu kepada syarikat teknologi besar seperti Apple, Amazon, Google dan Microsoft, walaupun syarikat kecil masih berpotensi mengejar perkembangan tersebut melalui inovasi baharu. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhammad Rais Sanusi