Temu Santai Bulanan Eratkan Hubungan Datuk Snowdan Lawan Dengan Rakyat Balai Ringin
BALAI RINGIN: Program Temu Santai Bulanan bersama Datuk Snowdan Lawan terus menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat di kawasan N.30 Balai Ringin.
Program yang berlangsung di Pusat Khidmat N.30 Balai Ringin (Depo Balai Ringin), Pekan Balai Ringin itu menghimpunkan kira-kira 30 penduduk setempat termasuk ketua kampung dan ketua masyarakat dari kawasan sekitar.
Turut hadir ialah SAO Stanley Randy yang mewakili Pegawai Daerah Pantu, SAO Mohd Adam Muslim selaku Penguasa Pejabat Daerah Kecil Balai Ringin, serta Penghulu Johnny Lumie dari Kawasan Ubah dan Penghulu Judi Inau dari Kawasan Jaong.
Dalam sesi santai tersebut, Datuk Snowdan Lawan yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap ADUN N.30 Balai Ringin menekankan kepentingan komunikasi dua hala antara pemimpin dan masyarakat dalam memastikan pembangunan kawasan berjalan lancar.
Menurut beliau, platform seperti ini memberi ruang kepada penduduk untuk menyuarakan pandangan, cadangan serta isu semasa yang dihadapi secara terus, sekali gus membolehkan tindakan susulan diambil dengan lebih berkesan.
Penduduk yang hadir menyambut baik inisiatif berkenaan kerana ia membuka peluang interaksi secara lebih dekat dan terbuka bersama wakil rakyat, di samping memperkukuh semangat kerjasama dalam memajukan kawasan Balai Ringin.-EDISI UKAS