SELANGAU: Usaha untuk menjadikan Selangau sebagai pusat penanaman kopi terus diperkasa menerusi agihan sebanyak 30,000 anak benih kepada penduduk setempat sepanjang tahun ini.
Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta berkata inisiatif berimpak tinggi ini merupakan sebahagian daripada langkah strategik bagi menggalakkan penanaman komoditi bernilai tinggi yang mampu menjana pendapatan berterusan kepada penduduk luar bandar.
Jelasnya, penanaman kopi bukan sahaja berpotensi menjadi sumber ekonomi baharu bagi masyarakat pedalaman, malah membuka ruang kepada pembangunan aktiviti hiliran seperti pemprosesan, penjenamaan dan pemasaran hasil.
“Kita tidak hanya mahu penduduk menanam, tetapi memahami keseluruhan nilai industri kopi dari ladang hingga ke pasaran,” katanya ketika melakukan lawatan kerja selama tiga hari ke kawasannya baru-baru ini.
Menurut beliau, satu lawatan khas ke ladang dan kilang kopi sedang dirancang khusus bagi para peserta yang terlibat dalam program penanaman kopi, bertujuan memberi pendedahan dan pengalaman secara langsung mengenai pengurusan dan pemprosesan kopi secara profesional.
Langkah ini dilihat sebagai satu pendekatan holistik bagi memastikan penglibatan komuniti tempatan dalam sektor pertanian bukan sahaja bersifat sementara, tetapi mampan dan berdaya saing.
Dalam lawatan tersebut, Edwin turut meluangkan masa menyantuni masyarakat menerusi kehadiran beliau di pelbagai program termasuk Majlis Perasmian Persatuan Penduduk Ulu Arip dan Majlis Silang Budaya anjuran PIBG SK Nanga Kua di Sibu.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan luar bandar harus dirangka secara menyeluruh, merangkumi aspek ekonomi, pendidikan dan sosial.
“Sokongan terhadap usaha seperti penanaman kopi bukan sekadar pertanian semata-mata, ia merupakan salah satu langkah konkrit untuk mengangkat taraf hidup rakyat serta memastikan komuniti luar bandar terus berkembang seiring kemajuan negara,” tambah beliau.-EDISI UKAS