MOTS Utamakan Keselamatan Pengguna Sungai, Bersihkan Tunggul Nipah Tersekat Di Bawah Jambatan Piasau
MIRI: Keprihatinan orang awam terhadap keselamatan sungai mendapat respons segera apabila Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) bertindak pantas susulan aduan terdapat tunggul nipah yang tersekat pada struktur “rubber trap” terapung di bawah Jambatan Piasau.
Sebaik sahaja menerima laporan, MOTS mengarahkan pasukan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) Bahagian Miri untuk mengambil tindakan serta-merta bagi mengalihkan rintangan tersebut.
Langkah ini diambil bagi mengelakkan sebarang kerosakan pada infrastruktur awam serta memastikan keselamatan pengguna sungai sentiasa terpelihara.
Pasukan LSS Miri bertindak cekap tanpa berlengah dan berjaya mengalihkan tunggul nipah terbabit, sekali gus mengembalikan keadaan kawasan sungai berkenaan ke tahap selamat dan terkawal.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, merakamkan penghargaan kepada individu yang membuat laporan berkenaan dan memuji kecekapan serta profesionalisme pasukan LSS Miri dalam menangani isu tersebut.
“Kementerian kami sentiasa mengambil serius setiap maklum balas daripada orang awam, lebih-lebih lagi yang melibatkan keselamatan dan integriti infrastruktur awam.
“Saya berterima kasih kepada Lembaga Sungai-Sungai Sarawak atas tindakan segera dan berkesan yang telah diambil,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Beliau turut menyeru orang ramai agar terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kejadian atau halangan yang berlaku di sepanjang laluan sungai atau berhampiran kemudahan kritikal.
Katanya, laporan tepat pada masanya amat penting dalam usaha mencegah risiko dan memastikan kesejahteraan masyarakat terus dilindungi.-EDISI UKAS