Adat Mangkung Tiang Lambang Warisan dan Kemajuan Komuniti Rumah Panjang
SELANGAU: Upacara adat Mangkung Tiang yang berlangsung di Rumah Lawang Unpon, Bukit Melinau dekat sini bukan sahaja memperkukuh ikatan perpaduan masyarakat, malah menjadi simbol permulaan kehidupan baharu dan kemajuan komuniti rumah panjang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir. Christopher Gira Sambang berkata, penganjuran semula upacara tradisional itu mencerminkan nilai kekeluargaan, kesinambungan budaya dan semangat gotong-royong yang masih utuh dalam kalangan masyarakat Iban.
“Rumah panjang ini bukan sahaja lambang budaya, tetapi juga simbol kejayaan bersama.
“Kita mahu lihat rumah panjang bukan sekadar warisan fizikal, tetapi sebagai pusat komuniti yang aktif dan maju,” katanya katanya ketika menyempurnakan upacara berkenaan di Bukit Melinau, di sini, pada Sabtu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penduduk Rumah Panjang Lawang atas usaha membina kediaman yang moden, tersusun dan selesa, menyifatkannya sebagai bukti peningkatan taraf sosioekonomi serta keberkesanan dasar pembangunan Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Program berkenaan dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Baru Sungai Melinau bagi mengangkat kembali adat Mangkung Tiang sebagai warisan budaya dan platform penyatuan komuniti.
Ir. Gira turut menekankan kepentingan keselamatan elektrik di rumah panjang, mencadangkan agar sistem pendawaian sedia ada ditingkatkan daripada satu fasa kepada tiga fasa.
Menurutnya, langkah ini bertujuan mengurangkan risiko beban berlebihan yang boleh menyebabkan kebakaran, sejajar dengan peningkatan penggunaan elektrik di kediaman masa kini.
Dalam masa yang sama, beliau turut memaklumkan beberapa projek pembangunan strategik yang sedang dan akan dilaksanakan di kawasan DUN Tamin.
Antaranya, pembinaan Mini Sports Complex sebagai kemudahan riadah komuniti, penaiktarafan jalan masuk ke Pasar Selangau bagi menyokong aktiviti ekonomi tempatan, serta pembukaan akses jalan luar bandar melibatkan laluan Rumah Uban ke Ulu Mukah dan Nanga Selangau ke Rumah Dinggai, katanya.
Ir. Gira juga menyentuh mengenai persidangan khas Dewan Undangan Negeri Sarawak baru-baru ini yang membincangkan cadangan penambahan 17 kerusi baharu. Menurut beliau, langkah itu akan membolehkan pengagihan pembangunan dan perkhidmatan yang lebih adil serta menyeluruh, khususnya kepada kawasan luar bandar.
“Penambahan kerusi adalah sebahagian daripada usaha memperluas suara rakyat luar bandar dalam pentadbiran negeri. Ia bukan sekadar perubahan struktur, tetapi pelaburan masa depan untuk generasi akan datang,” tegasnya.
Sebagai tanda komitmen terhadap pembangunan akar umbi, beliau menyerahkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM369,000 kepada 25 penerima, merangkumi JKKK rumah panjang, persatuan belia dan sukan, institusi pendidikan serta projek sambungan elektrik luar bandar.
Beliau turut mengumumkan peruntukan khas tambahan sebanyak RM25,000 kepada JKKK Rumah Panjang Lawang sebagai sokongan terhadap pengurusan komuniti yang aktif dan berdaya maju.
Program Mangkung Tiang kali ini bukan sahaja berjaya mengangkat nilai warisan budaya masyarakat Iban, tetapi turut menjadi wadah penyampaian dasar kerajaan dan pelancaran inisiatif pembangunan yang membawa manfaat langsung kepada rakyat luar bandar.-EDISI UKAS