Tujuh Syarikat Dipilih Sertai SCALE Sarawak Cohort 3, Pacu Transformasi Ekonomi Digital Negeri
KUCHING: Sebanyak tujuh buah syarikat telah terpilih untuk menyertai program pemecutan SCALE Sarawak Cohort 3, anjuran Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dengan kerjasama Endeavor Malaysia.
Tujuh syarikat yang terpilih ialah Satok Bridge Digital Sdn Bhd, Maxeon Technologies Sdn Bhd, Future Laboratory Sdn Bhd, Stratetics Experts Sdn Bhd, DuuDuu (Saralia Exports Pty Ltd), Letz Play Group Sdn Bhd dan Zuno PTE LTD.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi TEGAS, Datuk Len Talif Salleh menerusi satu kenyataan pada Selasa berkata, pelaksanaan SCALE Sarawak 2026 mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa usahawan tempatan ke arah transformasi ekonomi yang lebih mampan dan berdaya saing.
“Program ini direka untuk melahirkan syarikat yang berdaya tahan dan mampu berkembang, selain menyokong visi jangka panjang Sarawak ke arah ekonomi digital yang inovatif,” katanya dalam kenyataan itu.
Sementara itu, Pengarah Urusan Endeavor Malaysia, Shan Li Tay menyifatkan pemilihan Cohort 3 sebagai satu pencapaian penting dalam memperkasa generasi baharu usahawan berimpak tinggi di negeri ini.
Menurut beliau, setiap syarikat yang dipilih menampilkan pemikiran berani dan berpotensi besar untuk mentransformasikan ekonomi melalui inovasi dan jaringan strategik yang kukuh.
Program enam bulan ini bermula dengan sesi pelancaran intensif selama dua hari di TEGAS Digital Village, yang turut menampilkan sesi bimbingan awal serta penggunaan ciri baharu seperti Live Business Portfolios bagi mengenal pasti cabaran operasi secara masa nyata.
Sepanjang program, peserta akan mengikuti enam bengkel fizikal dan enam sesi bimbingan berkumpulan yang dirangka untuk membentuk model perniagaan yang mampan dan berskala tinggi.
Antara mentor berprofil tinggi yang terlibat termasuk Sunderaj Nagalingam, Naaman Lee, Chari TVT serta Shan Li Tay sendiri, yang akan menyediakan panduan strategik dan maklum balas berimpak tinggi kepada peserta.
Program ini dijadual berakhir pada Oktober 2026 menerusi Graduation Day dan sesi Panel Review, sekali gus membuka peluang kepada peserta untuk mengakses program lanjutan Endeavor Scale Up serta rangkaian eksklusif industri. -EDISI UKAS