Move For Gold 2026 Perkasa Sokongan Kanak-Kanak Kanser Sempena 25 Tahun SCCS
KUCHING: Sarawak Children’s Cancer Society (SCCS) melancarkan kempen Move For Gold 2026 sebagai inisiatif utama sempena ulang tahun ke-25 penubuhannya, dengan matlamat memperluas kesedaran awam serta memperkukuh sokongan kepada kanak-kanak yang menghidap kanser dan keluarga mereka di Sarawak.
Kempen yang akan berlangsung dari 3 hingga 5 Julai ini di The Hills dan Pullman Kuching menghimpunkan elemen kecergasan, kutipan dana dan pendidikan kesihatan dalam satu gerakan komuniti yang inklusif.
Presidennya, Mary Kiu Ai Ling berkata, sepanjang 25 tahun penubuhan, SCCS telah menyokong lebih 1,800 keluarga menerusi bantuan kewangan, penginapan, kaunseling serta program penjagaan jangka panjang.
“Move For Gold 2026 mencerminkan kekuatan sokongan komuniti dalam membantu kanak-kanak yang berdepan cabaran kanser, selain memperkukuh kesedaran terhadap kepentingan pengesanan awal,” katanya.
Dia berkata demikian semasa sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah di Bilik Mesyuarat Melur, KPWK pada Selasa.
Kunjungan itu antara lain bagi menjemput Dato Sri Fatimah merasmikan program GoBald 2026 pada 4 Julai depan, yang menjadi simbol solidariti kepada kanak-kanak yang sedang menjalani rawatan kanser.
Dalam pertemuan tersebut, SCCS turut menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam memperkukuh sistem sokongan kepada pesakit kanser kanak-kanak, di samping memperluas inisiatif kesejahteraan komuniti dan amalan gaya hidup sihat.
Antara pengisian utama kempen itu termasuk GoBald Campaign, Larian Amal 5KM Golden Loop, Hari Kesejahteraan Keluarga dan Komuniti serta pelbagai program kesedaran berkaitan kanser kanak-kanak.
Sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-25, SCCS turut merancang menjemput Premier Sarawak sebagai penaung acara, selain merasmikan Larian Amal Golden Loop 5KM dan menghadiri majlis makan malam ulang tahun.
Kempen tersebut dijangka menjadi platform penting dalam menggerakkan penyertaan masyarakat secara meluas serta memperkukuh sokongan berterusan kepada kanak-kanak dan keluarga yang terkesan akibat kanser.- EDISI UKAS