Jambatan Tanjung Manis–Sarikei Pacu Pertumbuhan Ekonomi Setempat
SARIKEI: Pembinaan Jambatan Tanjung Manis–Sarikei yang siap tahun lalu kini menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi setempat dengan meningkatkan akses pasaran, merangsang aktiviti perniagaan serta membuka lebih banyak peluang pendapatan kepada penduduk.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, projek infrastruktur strategik itu telah memberi impak signifikan terhadap pembangunan kawasan dengan meningkatkan keterhubungan serta menarik kehadiran pelabur dan pengunjung.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Perjumpaan dan Sesi Ramah Mesra Bersama Masyarakat Setempat sempena sambutan Perayaan Perahu Naga anjuran Persatuan Kwong Wai Siew di Jalan Kwong Ming/Minah pada Ahad.
Menurut beliau, pelaksanaan projek berimpak tinggi itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pembangunan luar bandar melalui penyediaan infrastruktur yang mampan dan berdaya saing.
Tambah beliau, pembangunan infrastruktur bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup rakyat, malah mempercepat pertumbuhan ekonomi tempatan secara menyeluruh.
Dalam masa sama, beliau menegaskan peranan pertubuhan masyarakat seperti Persatuan Kwong Wai Siew amat penting dalam memperkukuh perpaduan serta menjadi penghubung antara rakyat dan kerajaan.
“Persatuan memainkan peranan penting dalam menyatukan masyarakat serta menjadi jambatan antara rakyat dan kerajaan,” katanya.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Kwong Wai Siew sebagai sokongan kepada pelaksanaan aktiviti komuniti.
Majlis yang dihadiri kira-kira 500 orang itu mencerminkan kerjasama erat antara pemimpin dan masyarakat dalam menyokong agenda pembangunan serta memperkukuh perpaduan komuniti setempat.-EDISI UKAS