Bomba Sukarela Perkukuh Respons Awal Kecemasan Di Pedalaman
SARIKEI: Kelewatan akses kepada balai bomba di kawasan pedalaman menjadikan Pasukan Bomba Sukarela sebagai komponen kritikal dalam memastikan respons awal kecemasan dapat dilaksanakan dengan pantas bagi mengurangkan risiko kebakaran serta kerosakan harta benda.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Jamri Masran berkata, pasukan tersebut memainkan peranan penting dalam menangani kebakaran pada peringkat awal sebelum ketibaan pasukan bomba.
Menurutnya, tindakan awal oleh pasukan bomba sukarela mampu mengawal kebakaran daripada merebak, sekali gus mengurangkan risiko kerugian yang lebih besar.
“Pasukan bomba sukarela bukan sahaja terlibat dalam pemadaman kebakaran, malah turut membantu operasi mencari dan menyelamat serta pengurusan bencana seperti banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Tapak Bilik Gerakan Pasukan Bomba Sukarela Kampung Stalon yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Yusuf Abd Wahab pada Selasa.
Tambah beliau, semangat kesukarelawanan dalam kalangan ahli pasukan mencerminkan tahap kesedaran tinggi masyarakat terhadap kepentingan keselamatan komuniti.
Dalam pada itu, beliau menegaskan usaha memperkasa pasukan tersebut perlu diperkukuh melalui latihan berterusan serta sokongan pelbagai pihak bagi meningkatkan keupayaan operasi.
Difahamkan, jarak ke balai bomba terdekat di kawasan Stalon mengambil masa lebih satu jam dan dalam keadaan tertentu memerlukan penggunaan bot untuk mendapatkan bantuan.
Keadaan tersebut menjadikan kewujudan Pasukan Bomba Sukarela amat signifikan dalam memastikan keselamatan penduduk setempat terus terpelihara.
Inisiatif ini mencerminkan pendekatan bersepadu dalam memperkukuh kesiapsiagaan komuniti, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak.-EDISI UKAS