MiRRDA Pacu Pembangunan Selangau, Lebih 800 Rumah Panjang Bakal Terima Manfaat
SELANGAU: Kawasan luar bandar Parlimen Selangau dijangka menikmati pembangunan lebih pesat dengan pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi menerusi Agensi Pembangunan Wilayah Tengah Rajang (MiRRDA), kata Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta.
Menurut beliau, MiRRDA kini menjadi pemangkin baharu dalam merangka penyediaan kemudahan asas secara lebih sistematik, termasuk akses jalan raya, bekalan elektrik dan air bersih, yang amat diperlukan di kawasan yang melibatkan lebih 800 buah rumah panjang.
“Melalui MiRRDA, banyak inisiatif pembangunan dapat diselaras dengan lebih cekap, termasuk projek tanaman kelapa sawit dan kopi yang berpotensi memberi pulangan ekonomi kepada penduduk luar bandar,” katanya semasa berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena Perasmian Projek Atap di Rumah Dali, Pasir Terabai, Nanga Tamin baru-baru ini.
Beliau turut memberi jaminan akan terus turun padang bagi memantau keperluan rakyat serta memastikan setiap kawasan menerima manfaat pembangunan secara adil.
Mengulas isu peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP), Edwin menjelaskan bahawa pengagihan dilakukan secara berperingkat berdasarkan keutamaan, dan menyeru penduduk agar terus bersabar serta percaya kepada proses penyampaian yang telus.
Beliau turut mengingatkan para Tuai Rumah agar memainkan peranan aktif sebagai pemimpin akar umbi yang mampu memperjuangkan kepentingan komuniti masing-masing.
“Kita perlukan kepimpinan yang progresif, terbuka dan berdaya saing agar rumah panjang tidak ketinggalan dalam arus kemajuan,” tegasnya.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Penghulu Surang Takin dan Penghulu Bangsa Kunchau, serta disambut baik oleh komuniti setempat yang hadir dalam suasana mesra dan penuh semangat kekitaan.-EDISI UKAS