Blok Baharu Rumah SDNU Sarikei Simbol Perpaduan & Kemajuan Masyarakat Dayak
SARIKEI: Blok Baharu Rumah Sarawak Dayak National Union (SDNU) Cawangan Sarikei menjadi simbol kepada perpaduan dan kemajuan masyarakat Dayak di sini.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, SDNU bukan sekadar sebuah pertubuhan, tetapi nadi perpaduan dan suara perjuangan masyarakat Dayak.
“Ia menjadi landasan penting dalam memperkasa hak, martabat dan pembangunan sosioekonomi masyarakat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian bangunan baharu berkenaan, di sini, pada Rabu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok menyeru agar SDNU Sarikei akan terus berperanan sebagai agen perubahan dan pemangkin kepada perpaduan serta kemajuan masyarakat Dayak.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa SDNU Sarikei telah menerima peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM420,000 dari tahun 2018 hingga 2025 bagi tujuan menaiktaraf prasarana dan kemudahan dewan SDNU.
“Ini bukti bahawa Kerajaan Sarawak sentiasa mendengar dan memberi perhatian kepada keperluan rakyat.
“Gunakanlah kemudahan ini untuk manfaat semua, bukan sahaja untuk aktiviti organisasi tetapi untuk komuniti keseluruhannya,” tambahnya lagi. -EDISI UKAS