STB Tanam 2,500 Pokok Ditanam di Piasau Nature Reserve, Capai 62 Peratus Sasaran ecoGreenPlanet
MIRI: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) terus memperkukuh komitmennya terhadap pemuliharaan alam sekitar menerusi penanaman 2,500 anak pokok spesies asli di Piasau Nature Reserve, di sini, pada pagi Jumaat.
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif ecoGreenPlanet yang dilancarkan sejak tahun 2023 dengan sasaran menanam 10,000 pokok menjelang 2027.
Menurut Pengerusi STB merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dato Dennis Ngau, penanaman kali ini menjadikan jumlah keseluruhan pokok ditanam setakat ini mencecah 6,200 pokok atau 62 peratus daripada sasaran.
“Pada tahun 2023, inisiatif ecoGreenPlanet telah menetapkan sasaran yang berani namun realistik — menanam 10,000 pokok menjelang 2027 sebagai sebahagian daripada usaha memulihkan alam sekitar dan mengimbangi jejak karbon daripada aktiviti pelancongan.
“Dengan penanaman 2,500 anak pokok spesies asli hari ini, kita telah mencapai 62 peratus daripada sasaran tersebut.
"Setiap anak pokok yang ditanam, dari Samunsam Wildlife Sanctuary, Bukit Lima Nature Reserve, hinggalah ke Miri, mewakili keyakinan kami bahawa pelancongan mesti menjadi kuasa untuk kebaikan,” katanya semasa berucap dalam majlis perasmian program itu.
Dato Dennis menambah, usaha STB bukan sekadar menanam pokok, tetapi turut merangkumi pendekatan holistik melalui pelbagai program mampan yang digerakkan di bawah Festival Hutan Hujan Sedunia 2025.
Menurut beliau, antaranya seperti sistem bas ulang-alik rendah karbon, stesen pengecas solar, penghasilan lanyard daripada gelang tangan terpakai oleh ibu tunggal, penghasilan biodiesel daripada minyak masak terpakai serta kerjasama dengan PATA untuk pemantauan jejak karbon.
“Semua inisiatif ini mencerminkan keselarasan kami dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), serta peranan kami sebagai peneraju pelancongan bertanggungjawab dan peka iklim di rantau ini,” ujarnya.
Inisiatif ini turut disokong oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC), Majlis Bandaraya Miri (MCC), Tourism Malaysia, pihak penaja serta komuniti setempat.
Program ini juga sejajar dengan matlamat PCDS 2030 dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab), SDG 13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim) dan SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat).
Majlis turut disertai oleh Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap ADUN Pujut Adam Yii Siew Yang, Pengurus Wilayah Miri, Sarawak Forestry Corporation Louis Velda Dominic Salon, Pengarah Wilayah, Tourism Malaysia Sarawak Rubiah Tul'adwiyah Md. Yusof, serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Sarawak Tourism Board Maurice Vincent Balang.
Antara pengisian program termasuk taklimat penanaman oleh renjer taman, aktiviti menanam pokok oleh para peserta, sesi bergambar dan lawatan santai di sekitar Piasau Nature Reserve, sebelum semua tetamu dijemput untuk menikmati jamuan tengah hari di Piasau Boat Club.-EDISI UKAS