430 Penduduk Lapan Kampung Di Tanjong Datu Terima Surat Hak Milik Tanah
SEMATAN: Seramai 430 penduduk dari lapan kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu menerima surat hak milik tanah sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Sarawak memperkukuh jaminan pemilikan tanah serta melindungi hak dan kepentingan masyarakat luar bandar.
Penyerahan surat hak milik berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan sempena Majlis Perasmian Anjung Usahawan Sematan dan Taman Perindustrian Sematan di sini pada Ahad.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak terus memberikan keutamaan kepada pelaksanaan program pengukuran dan pengeluaran surat hak milik tanah bagi memastikan pemilikan tanah masyarakat mendapat pengiktirafan yang sah di sisi undang-undang.
"Pelaksanaan pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) menerusi inisiatif baharu kerajaan merupakan langkah penting dalam mempercepatkan proses pengiktirafan tanah adat, sekali gus memberikan kepastian pemilikan kepada pemilik tanah dan generasi akan datang," katanya.
Tambah beliau, proses berkenaan dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan pengukuran perimeter di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri, diikuti pengukuran lot individu bagi tujuan pengeluaran surat hak milik di bawah Seksyen 18.
Beliau menegaskan bahawa kerja pengukuran tanah di bawah inisiatif berkenaan dilaksanakan tanpa mengenakan bayaran pengukuran kepada pemilik tanah.
Bagaimanapun, katanya, kerjasama masyarakat amat penting khususnya dalam mengenal pasti sempadan tanah, mendapatkan persetujuan pihak berkaitan serta menyelesaikan sebarang pertikaian sebelum kerja pengukuran dijalankan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan sekitar RM40 juta bagi melaksanakan kerja pengukuran tanah, selain menanggung kos operasi dan tenaga kerja yang diperlukan.
Menurut beliau, usaha memperkukuh keupayaan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak turut diberikan perhatian bagi mempercepatkan proses pengukuran serta pengeluaran surat hak milik kepada pemilik tanah yang layak.
Mengulas mengenai program pengukuran tanah kampung tradisional, beliau berkata, inisiatif berkenaan bertujuan memberikan jaminan pemilikan yang lebih kukuh kepada penduduk yang telah lama menetap di kawasan kampung.
Jelasnya, terdapat kawasan penempatan tradisional yang sebelum ini hanya mempunyai status rizab komunal tanpa surat hak milik individu, justeru pelaksanaan program pengukuran tersebut dapat membantu menyelesaikan isu pemilikan tanah secara lebih menyeluruh.
Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama erat antara Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, pemimpin masyarakat serta pemilik tanah dapat diperkukuh bagi memastikan pelaksanaan program pengukuran berjalan lancar.
Penyerahan surat hak milik kepada 430 penerima itu turut mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memastikan masyarakat luar bandar memperoleh kepastian undang-undang terhadap pemilikan tanah, sekali gus melindungi kepentingan pemilik serta waris mereka dalam jangka panjang.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan, ADUN Jepak, Islandar Turkee, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Dato Sri Naroden Majais, Setiausaha Tetap kementerian berkenaan, Datu Lester Matthew, Pemangku Pengarah Tanah dan Survei Sarawak, Rozlan Putit, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Abang Abdul Aziz Abang Draup serta Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail.-EDISI UKAS