PERKIM Perlu Sesuaikan Pendekatan Dakwah Dengan Perkembangan Teknologi
KUCHING: Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) perlu menyesuaikan pendekatan dakwah dengan perkembangan teknologi dan komunikasi bagi memastikan penyampaian ilmu terus relevan dengan keperluan masyarakat semasa.
Premier Sarawak merangkap Yang Dipertua PERKIM, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perubahan pesat dalam bidang teknologi dan komunikasi turut mempengaruhi cara masyarakat mendapatkan maklumat, berinteraksi dan memahami sesuatu perkara.
“Penggunaan platform digital dan media sosial boleh membantu PERKIM memperluas penyampaian ilmu serta mendekati golongan muda.
“Namun, teknologi hanyalah satu alat. Keberkesanan dakwah tetap bergantung pada ketepatan ilmu, kebijaksanaan dalam menyampaikan mesej dan keikhlasan kita dalam membimbing masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan ke-65 di sebuah hotel di sini, pada Ahad.
Daam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, pembangunan kepimpinan dan pelapis dalam organisasi turut perlu diberikan perhatian bagi memastikan kesinambungan usaha dakwah dan kebajikan PERKIM.
“Penglibatan golongan belia perlu diperkukuh supaya mereka mempunyai ruang untuk menyumbang idea, membina pengalaman dan
meneruskan usaha dakwah serta kebajikan PERKIM pada masa hadapan,” ujarnya.
Premier Sarawak turut menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama antara PERKIM Kebangsaan dengan PERKIM Bahagian Negeri, mengambil kira keadaan dan keperluan masyarakat yang berbeza di setiap negeri.
Menurut beliau, pelaksanaan program perlu mengambil kira keperluan setempat supaya bantuan dan bimbingan yang diberikan benar-benar sampai kepada golongan sasaran.
Turut hadir ialah Toh Puan Datin Patinggi Hayati Ahmad, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia merangkap Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Sarawak Dato Hanifah Hajar Taib-Alsree, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi serta Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Dato Dr Mohamad Marzuki Mohamad Omar.-EDISI UKAS