Penguasaan STEM Penting Persiap Generasi Muda Hadapi Ekonomi Baharu
TAPAH: Generasi muda Sarawak perlu dipersiapkan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi menghadapi perubahan ekonomi serta keperluan industri masa hadapan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, penekanan terhadap pendidikan berkualiti amat penting bagi melahirkan generasi berkemahiran tinggi yang mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi dan transformasi ekonomi negeri.
Menurut beliau, pendekatan pendidikan perlu sentiasa seiring dengan perubahan kaedah kerja dan keperluan industri baharu yang semakin menuntut penguasaan ilmu serta kemahiran dalam bidang STEM.
“Dasar kita adalah untuk memastikan kita menambah lagi kualiti dan ilmu untuk generasi muda. Sebab itu mereka ialah masa hadapan dan harapan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Larian Jogathon Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bahagian Serian 2026 Kali Kedua di Dewan SJKC Tapah, Siburan pada Ahad.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat menambah, kerjasama erat antara ibu bapa, pihak sekolah dan masyarakat amat diperlukan bagi memastikan anak-anak mendapat pendidikan terbaik sebagai persediaan menghadapi cabaran masa hadapan.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan semua pihak supaya terus memberikan perhatian terhadap pembangunan pendidikan dan peningkatan kemahiran generasi muda bagi menyokong aspirasi pembangunan Sarawak.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh inisiatif Kerajaan Sarawak menyediakan pendidikan tinggi percuma menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang merangkumi 64 program pengajian di institusi pengajian tinggi milik negeri yang terlibat.
Tegas beliau, inisiatif berkenaan membuka peluang lebih luas kepada anak Sarawak yang memenuhi syarat kelayakan untuk melanjutkan pengajian tinggi tanpa mengira kaum atau agama.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Allan Lee Chun Lun berkata, program jogathon berkenaan bertujuan mengumpul dana bagi membantu sembilan SJKC di Bahagian Serian, khususnya untuk menyokong keperluan pembelajaran dan menambah baik kemudahan sekolah.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan Tionghua SJK Bahagian Serian, Chai Chon Sung, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Siburan, Cr Neuchlos Jub, Penghulu Voon Min Sen serta wakil sekolah dan masyarakat setempat.-EDISI UKAS