Dakwah Berhikmah Pelihara Keharmonian Masyarakat Sarawak
KUCHING: Pendekatan dakwah yang berhikmah, sederhana dan penuh kasih sayang penting dalam menyampaikan keindahan Islam serta memelihara keharmonian masyarakat berbilang agama, kaum dan budaya di Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) berperanan menyampaikan dakwah secara berhemah di samping membimbing saudara baharu dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
“Di Sarawak, masyarakat hidup dalam suasana kepelbagaian agama, kaum dan budaya yang telah menjadi sebahagian daripada kekuatan wilayah ini.
“Keharmonian tersebut dipelihara melalui sikap saling menghormati, memahami dan menerima perbezaan dalam kehidupan bermasyarakat.
“Semangat ini juga penting dalam usaha dakwah PERKIM. Kita perlu menyampaikan keindahan Islam melalui pendekatan yang berhikmah, sederhana dan penuh kasih sayang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan ke-65 di sebuah hotel di sini, pada Ahad.
Premier Sarawak menegaskan, pendekatan dakwah perlu sentiasa mengambil kira kepelbagaian masyarakat serta mengutamakan sikap saling menghormati bagi memelihara hubungan baik antara penganut pelbagai agama.
Menurut beliau lagi, PERKIM juga berpeluang memperluas sumbangannya menerusi program kebajikan, pendidikan dan kemasyarakatan yang mencerminkan nilai rahmah sebagai teras ajaran Islam.-EDISI UKAS