RM200,000 Dana MRP Disalur Kepada 35 Penerima Di Bukit Semuja
SERIAN: Sebanyak RM200,000 peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) disalurkan kepada 35 penerima di kawasan Bukit Semuja bagi menyokong pelaksanaan aktiviti persatuan dan pembangunan komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus berkata, peruntukan berkenaan dapat membantu pelbagai organisasi melaksanakan program dan aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek MRP, di sini pada Ahad.
Daripada keseluruhan penerima, dana itu disalurkan kepada pelbagai organisasi tempatan, termasuk persatuan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), kelab serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
John dalam pada itu turut menyentuh bantuan tahunan menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi menyokong pembangunan sekolah mubaligh di kawasan berkenaan.
Beliau berharap sokongan berterusan daripada masyarakat dapat membantu memastikan pelaksanaan program pembangunan dan aktiviti kemasyarakatan di kawasan DUN Bukit Semuja dapat diteruskan. -EDISI UKAS