Pro-DR Buka Peluang Pendidikan dan Kerjaya Belia Luar Bandar di Lawas
LAWAS: Program Project of Dreams Realized (Pro-DR) Siri ke-10 Tahun 2025 yang berlangsung di Lawas pada Rabu membuka lembaran baharu kepada golongan pelajar dan belia luar bandar dalam mengakses peluang pendidikan, latihan kemahiran dan kerjaya masa hadapan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Lawas, Linda Yabi mewakili Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, yang menyifatkan penganjuran program ini sebagai bukti komitmen Kerajaan Negeri Sarawak dalam memperkasakan pembangunan modal insan tempatan, khususnya dalam kalangan belia luar bandar.
“Program ini menyasarkan pelajar sekolah, belia lepasan sekolah dan komuniti setempat sebagai salah satu usaha menjadikan Sarawak sebuah negeri maju, berpendapatan tinggi dan melahirkan modal insan berkualiti,” ujar beliau dalam teks ucapannya yang dibaca oleh Linda.
Menurut Dato Henry, penganjuran Pro-DR oleh Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) sejak 2012 berjaya memainkan peranan penting sebagai platform perkongsian maklumat pendidikan, latihan kemahiran serta bantuan kewangan khususnya kepada belia dan pelajar luar bandar yang sering berdepan dengan kekangan akses.
“Lawas amat bertuah kerana dipilih sebagai salah satu daripada 14 lokasi edisi kali ini. Ini memberi peluang kepada belia kita untuk lebih dekat dengan institusi latihan, peluang kerjaya serta mendapatkan maklumat tepat tentang masa depan mereka,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menekankan keperluan meningkatkan penyertaan belia dalam bidang pendidikan teknikal dan vokasional (TVET), selaras dengan keperluan pasaran kerja masa kini.
“Kita sudah pun diiktiraf sebagai negeri berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia. Namun, kita masih berdepan cabaran kekurangan tenaga kerja tempatan yang mahir. Maka, inisiatif seperti Pro-DR sangat penting dalam melahirkan tenaga mahir tempatan bagi mengisi kekosongan dalam bidang seperti kejuruteraan, digital, TVET, dan pelancongan,” jelasnya.
Antara sektor utama yang dikenal pasti menyediakan peluang pekerjaan kepada anak muda Sarawak termasuklah industri minyak & gas, tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital, pelancongan, pertanian moden serta industri makanan.
Dalam pada itu, majlis tersebut turut menyaksikan perasmian Bengkel Think & Tinker (T&T) Mini Lab di SMK Lawas iaitu sebuah ruang inovasi digital yang bakal menjadi pusat eksplorasi teknologi dan kreativiti bagi pelajar setempat.
“Inisiatif ini membolehkan pelajar luar bandar meneroka dunia digital serta menghasilkan ciptaan mereka sendiri. Ia juga berfungsi sebagai pusat jaringan antara pelajar, pendidik dan industri,” tambah Dato Henry.
Selain itu, beliau turut menyeru agar para pelajar memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ditawarkan hari ini, selain menggesa ibu bapa, guru dan komuniti untuk terus menyokong pendidikan anak-anak.
“Isu kewangan tidak lagi harus menjadi penghalang. Kita ada Yayasan Sarawak, MARA, PTPTN dan banyak lagi agensi yang sedia membantu,” katanya.
Majlis turut dihadiri wakil-wakil daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Pejabat Daerah, agensi kerajaan, institusi pendidikan serta rakan-rakan strategik dan media tempatan.-EDISI UKAS