Jabatan Hutan Sarawak Raih Dua Emas, Julang Inovasi Negeri di Pentas Antarabangsa
KUALA LUMPUR: Jabatan Hutan Sarawak terus mengharumkan nama negeri apabila meraih dua Anugerah Emas serta satu pengiktirafan khas antarabangsa pada Malaysia Technology Expo (MTE) 2026.
Dua projek inovasi jabatan itu, Carbon dan Terrasphere, masing-masing memenangi Anugerah Emas di bawah kategori Public Service Innovation Award (PSIA), sekali gus membuktikan keupayaan Sarawak menerajui penyelesaian berasaskan teknologi dalam pengurusan hutan lestari.
Lebih membanggakan, projek Carbon turut menerima Special Award daripada National Research Council of Thailand (NRCT) menerusi Thailand Reward for the Best International Invention and Innovation, menandakan pengiktirafan di peringkat global.
Majlis penyampaian anugerah tersebut berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur, hari ini.
Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Hutan Sarawak dalam memacu inovasi, memperkukuh kolaborasi strategik serta meningkatkan keupayaan teknikal bagi menyokong agenda kelestarian alam sekitar.
Kejayaan berkenaan turut mengangkat peranan Sarawak sebagai peneraju dalam pembangunan teknologi pengurusan sumber semula jadi, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri di pentas antarabangsa.
Jabatan Hutan Sarawak akan terus mempergiat usaha memperkasa inovasi serta menyumbang kepada kelestarian global melalui pendekatan berasaskan teknologi dan penyelidikan.-EDISI UKAS