Dana RM5,000 Perkasa Bakat Seni Pelajar SMK Three Rivers
MUKAH: Usaha memperkasa pembangunan bakat seni dalam kalangan pelajar diperkukuh apabila Kelab Kebudayaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Three Rivers menerima suntikan dana bagi memperhebat persediaan menghadapi pertandingan peringkat negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, sokongan berterusan itu penting dalam memastikan bakat pelajar terus digilap serta mampu bersaing di pentas lebih tinggi.
Menurut beliau, komitmen, disiplin dan semangat yang ditunjukkan oleh ahli kelab berkenaan mencerminkan potensi besar untuk mencipta kejayaan, khususnya dalam bidang kebudayaan.
Beliau berkata demikian ketika menyerahkan dana sebanyak RM5,000 di bawah Program Fifty7Talent Biro Pendidikan Mukah dalam satu sesi bersama kelab tersebut, pada Jumaat.
Tambah beliau, penyertaan dalam Pertandingan Tarian Peringkat Sarawak di Miri merupakan platform penting untuk pelajar mengembangkan bakat, membina keyakinan diri serta membawa nama sekolah dan negeri ke tahap lebih tinggi.
Sehubungan itu, beliau menggesa para peserta agar terus berlatih secara konsisten, percaya kepada kemampuan diri serta memberikan persembahan terbaik.
Inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa pembangunan bakat generasi muda, khususnya dalam bidang seni dan kebudayaan, sebagai sebahagian usaha melahirkan pelajar holistik dan berdaya saing.-EDISI UKAS