192 Gerai Jualan, Komuniti Meriahkan Pesta Daro 2025
DARO: Sebanyak 174 gerai jualan dan 18 gerai komuniti mengambil bahagian dalam Pesta Dato 2025 yang akan berlangsung selama 10 hari bermula 25 Julai hingga 3 Ogos 2025.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad dan Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi telah hadir menyempurnakan majlis perasmian bagi gerai jualan dan komuniti tersebut pada Jumaat.
Dalam ucapannya, Safiee Ahmad berkata, Pesta Daro bukan sahaja menjadi platform untuk mempromosikan budaya dan produk tempatan, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat luar bandar.
“Penyertaan peniaga dari pelbagai latar belakang membuktikan Daro kini menjadi tumpuan pelancongan dan kegiatan ekonomi rakyat,” ujar beliau.
Gerai-gerai tersebut menawarkan pelbagai jenis makanan, minuman, produk tempatan dan kraftangan, sekali gus memberi peluang kepada para pengunjung untuk menikmati sajian unik daripada peniaga tempatan mahupun luar daerah.
Manakala, Pesta Daro 2025 dijangka menarik ribuan pengunjung dari seluruh Bahagian Mukah dan kawasan sekitarnya.
Suasana tapak pesta turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan, muzik tradisional, dan aktiviti untuk seisi keluarga yang akan berlangsung sepanjang tempoh pesta. -EDISI UKAS