SK Tanjung Pisang Selangking Bakal Miliki Gelanggang Futsal Baharu Bernilai RM500,000
SIMUNJAN: Komitmen berterusan dalam memperkasakan kemudahan sukan luar bandar diteruskan apabila Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Pisang Selangking bakal menerima gelanggang futsal baharu di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Parlimen Batang Sadong.
Projek yang menelan kos RM500,000 itu akan memberi manfaat besar bukan sahaja kepada warga sekolah, malah komuniti setempat, selaras dengan usaha memperluas akses kepada kemudahan sukan yang selamat dan selesa di kawasan luar bandar.
Lawatan tapak awal bagi projek tersebut diadakan pada Selasa, diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, bersama Pegawai Khas Ahli Parlimen Batang Sadong, Idris Ibrahim, yang mewakili Rodiyah Sapiee di sini pada Selasa.
Menurut Idris Ibrahim, pembinaan gelanggang ini merupakan sebahagian daripada komitmen Rodiyah untuk memastikan pembangunan infrastruktur di luar bandar terus diperkasakan, termasuk dalam aspek pendidikan dan sukan.
“Kemudahan ini akan membantu murid membudayakan gaya hidup sihat serta menggalakkan penglibatan aktif dalam aktiviti fizikal,” katanya.
Projek berkenaan dijangka bermula dalam masa terdekat sebaik sahaja proses perolehan dan pelantikan kontraktor diselesaikan.
Ia akan dipantau secara berkala bagi memastikan pelaksanaan berjalan mengikut jadual dan spesifikasi yang ditetapkan.
Antara yang hadir dalam lawatan tersebut ialah Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Simunjan, Samantha Claire Danial, Guru Besar SK Tanjung Pisang Selangking, Bakar Brahim, Penolong Jurutera JKR Bahagian Samarahan, Clavell Cliff Peter dan Timbalan Ketua PBB Cawangan Simunjan, Bojeng Ali.-EDISI UKAS