Sarikei Giat Laksana Persiapan Akhir Power Boat 2025
SARIKEI: Persiapan akhir menjelang penganjuran Sarikei Power Boat 2025 terus dipergiat dengan pelaksanaan program gotong-royong melibatkan Jawatankuasa Penganjur dan agensi-agensi kerajaan di kawasan Terminal Satu dan tebingan Sungai Sarikei pada Khamis.
Aktiviti anjuran Pejabat Residen Bahagian Sarikei itu berlangsung dari jam 9 hingga 11 pagi dengan penyertaan aktif daripada pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Jabatan Penerangan Malaysia (JPM), Angkatan Pertahanan Awam (RELA) serta Majlis Daerah Sarikei.
Langkah ini dilaksanakan bagi memastikan aspek kebersihan, keselamatan dan keselesaan pengunjung berada pada tahap terbaik menjelang acara kemuncak Festival Sarikei 2025 yang dijadualkan dari 1 hingga 3 Ogos 2025.
Sehubungan itu, beberapa jalan utama di sekitar Bandar Sarikei akan ditutup sementara bagi memberi laluan kepada festival dan perlumbaan bot laju yang dijangka menarik ribuan pengunjung.
Festival Sarikei 2025 yang telah bermula sejak 25 Julai lalu menampilkan pelbagai pengisian menarik setiap hari dan akan mencapai kemuncaknya dengan penganjuran Sarikei Power Boat 2025 yang menghimpunkan pelumba dari dalam dan luar negara.
Majlis Perasmian Utama Festival Sarikei akan berlangsung pada 2 Ogos ini dan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Penganjuran festival ini bukan sahaja bertujuan mempromosikan Sarikei sebagai destinasi pelancongan baharu di negeri ini, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi tempatan melalui penyertaan pelbagai lapisan komuniti dan pihak luar.-EDISI UKAS