Pembangunan Ekonomi Digital Jadi Keutamaan Kerajaan Sarawak
KUCHING: Pembangunan ekonomi digital kekal sebagai keutamaan strategik Kerajaan Sarawak.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, melalui aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 menyaksikan transformasi menyeluruh Sarawak dalam sektor ekonomi utama yang dipacu oleh data dan inovasi.
“Ekonomi digital bukan sahaja membuka lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi, tetapi turut memperkukuh kedudukan Sarawak di pentas global.
“Maka, kita mesti mampu menyediakan persekitaran pembelajaran yang sesuai dan berinovasi kepada generasi muda, serta mewujudkan platform pembangunan bakat yang mampu memacu inovasi dan daya cipta,” katanya ketika berucap dalam merasmikan Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Sarawak 2025 di Dewan Jubli Perak Politeknik di sini pada Ahad.
Seramai 1,719 orang graduan Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Sarawak menerima diploma dan sijil masing-masing yang diadakan selama empat hari dari 9 hingga 12 Ogos 2025.
Dato Sri Roland menambah, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadi teras utama dalam membangunkan modal insan berkemahiran tinggi.
“Sarawak amat komited untuk memastikan belia negeri ini diberikan akses kepada latihan berasaskan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Big Data, automasi industri dan teknologi hijau.
“Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) merupakan antara institusi penting yang menyumbang secara langsung dalam melahirkan tenaga kerja masa hadapan yang relevan, adaptif dan inovatif,” ujarnya lagi.
Menerusi dasar TVET Negara 2030 dan PCDS 2030 yang saling melengkapi menjadikan Sarawak sebagai hab pembangunan bakat dan inovasi serantau.
Hadir sama Pengarah Politeknik Kuching Sarawak merangkap Pengerusi Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Sarawak 2025 Mohad Nazri Ismail, Pengarah Kolej Komuniti Miri Teknologis Harmen Muda, Pengarah Kolej Komuniti Kuching Sumbang Mandaw dan Pengarah Kolej Komuniti Sarikei dan Kolej Komuniti Sarikei Cawangan Sibu Norasmah Jaafar. -Edisi UKAS