Samarahan FA Teruskan Pemilihan Pemain Liga Premier Sarawak 2025
KOTA SAMARAHAN: Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS) meneruskan komitmen memantapkan skuad bagi menghadapi kempen Liga Premier Sarawak 2025 yang dijadual bermula September ini dengan mengadakan siri pemilihan pemain di empat lokasi bermula 2 Ogos lalu.
Sesi pertama yang berlangsung di Stadium Baru Simunjan (2 Ogos), Padang SK Pendam (3 Ogos), Padang Kampung Sambir (9 Ogos) dan pada hari ini di Stadium Mini Kota Samarahan (10 Ogos) berjaya menarik penyertaan seramai 57 orang pemain dari pelbagai peringkat umur.
Daripada jumlah tersebut, 30 pemain terbaik akan dipilih untuk menyertai sesi pemilihan kedua di Stadium Mini Kota Samarahan bagi membentuk pasukan Samarahan FA yang akan berentap dalam saingan Liga Premier Sarawak 2025.
Menurut kenyataan Presiden PBBS, Mohammad Azri Johari berkata, penganjuran ini memberi peluang kepada bakat tempatan untuk diketengahkan selain memperkukuh pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi.
“Kami menyeru pemain tempatan yang layak dan berminat agar hadir ke sesi pemilihan kerana liga ini memberi ruang kepada setiap bahagian di Sarawak mencungkil bakat terbaik tanpa had umur, namun tidak membenarkan pemain import dari bahagian lain,” katanya dalam kenyataan tersebut pada Ahad.
Turut hadir pada sesi pemilihan di Stadium Mini Kota Samarahan hari ini ialah Jurulatih 1 Pasukan Samarahan FA, Abang Rili Abang Saadili dan Jurulatih 2 Pasukan Samarahan FA, Teruna Jeman.
Liga Premier Sarawak 2025 akan menggunakan format timbal balik (home/away) dengan setiap pasukan mewakili bahagian masing-masing. -EDISI UKAS