NRMF 2025 Angkat Warisan Muzik & Budaya Utara Sarawak
LIMBANG: Lebih 2,000 pengunjung membanjiri kawasan parkir Lot 777, Bandar Limbang bagi menyaksikan Majlis Perasmian Northern Region Music Festival (NRMF) 2025, anjuran RTM Limbang dengan kerjasama rakan strategik tempatan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menzahirkan penghargaan kepada RTM Sarawak kerana berjaya mengangkat festival muzik ini sebagai wadah memartabatkan kesenian dan kebudayaan etnik di utara negeri.
“Program NRMF juga merupakan sebuah acara tahunan yang telah dimasukkan dalam kalender aktiviti Bahagian Limbang untuk mempromosikan budaya, kaum dan kepelbagaian jenis muzik dan dalam masa yang sama mampu memartabatkan warisan kesenian di kawasan utara Sarawak ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong dalam majlis perasmian tersebut pada Jumaat.
Malam perasmian dimeriahkan dengan pelbagai persembahan termasuk nyanyian artis jemputan seperti Bob Yusof, Mawat dan Rosiana Urai, selain tarian kebudayaan tujuh etnik utama Limbang iaitu Melayu, Kedayan, Cina, Iban, Bisaya, Lun Bawang dan Tagal Okolod.
NRMF 2025 yang berlangsung selama tiga hari mulai 15 hingga 17 Ogos turut menawarkan aktiviti sampingan seperti jualan kraf tangan, pameran agensi kerajaan dan NGO, pemeriksaan kesihatan, serta pentas hiburan rakyat. -EDISI UKAS