UiTM Night Bazaar Siri 8 Meriah, Platform Usahawan Muda & Komuniti
MUKAH: UiTM Night Bazaar Siri 8 kembali menceriakan suasana kampus apabila berlangsung di Takan Berambih, UiTM Cawangan Sarawak Kampus Mukah bermula 17 hingga 19 April 2026.
Bertemakan “Riuh Raya Street Fiesta Siri 8”, penganjuran kali ini menampilkan pelbagai pengisian menarik yang bukan sahaja menyemarakkan sambutan Aidilfitri, malah menghimpunkan pelajar dan masyarakat setempat dalam suasana santai dan meriah.
Program tersebut turut berperanan sebagai platform kepada usahawan kecil serta pelajar untuk mempromosikan produk masing-masing, sekali gus menggalakkan aktiviti keusahawanan dalam kalangan generasi muda.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine turut hadir memeriahkan program pada Jumaat dengan mengunjungi gerai-gerai jualan serta menyempurnakan sesi cabutan bertuah.
Kehadiran beliau mencerminkan sokongan berterusan terhadap penganjuran program komuniti yang memberi impak positif kepada pembangunan ekonomi setempat.
Sepanjang bazar berlangsung, pengunjung dihidangkan dengan pelbagai pilihan makanan popular dan tradisional, minuman menyegarkan serta jualan pakaian raya yang memenuhi citarasa semasa.
Selain itu, pelbagai aktiviti sampingan turut dianjurkan bagi menambahkan lagi kemeriahan suasana, sekali gus menjadikan program tersebut sebagai antara tarikan utama di kampus sepanjang musim perayaan ini.-EDISI UKAS