Bahagian Samarahan Terus Dilimpahi Pembangunan Pesat
KOTA SAMARAHAN: Pembangunan pesat yang dilaksanakan secara berterusan telah memperlihatkan perubahan ketara landskap Kota Samarahan, yang kini semakin berkembang sebagai kawasan berteraskan bandar.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, kemajuan tersebut adalah hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat.
“Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih kerajaan dan agensi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi memastikan Samarahan terus berkembang sebagai sebuah pusat bandar yang maju serta dinamik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Salam Mesra Aidilfitri 2026 di Dewan Masyarakat Kampung Moyan Laut, Asajaya pada Sabtu.
Menurutnya, perubahan yang berlaku turut mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memperluas akses kemudahan asas, infrastruktur serta peluang ekonomi kepada penduduk setempat.
Dalam pada itu, Datuk Rubiah menekankan kepentingan pendidikan sebagai asas utama dalam melahirkan generasi masa depan yang berkualiti.
Justeru, beliau menyeru ibu bapa agar terus memainkan peranan sebagai ‘tulang belakang’ dalam menyokong pembelajaran anak-anak.
“Pendidikan bukan hanya tanggungjawab guru di sekolah, tetapi memerlukan sokongan berterusan daripada ibu bapa di rumah,” ujarnya.-EDISI UKAS