Nur Syakura Ungguli Tilawah Kebangsaan 2026, Harumkan Nama Sarawak
KUALA TERENGGANU: Kejayaan qariah dari Sarawak, Nur Syakura Mohamad Musa muncul johan Tilawah Al-Quran dan Hafazan Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2026M menjadi detik membanggakan apabila berjaya mengharumkan nama negeri di pentas nasional.
Kemenangan tersebut sekali gus membuktikan keupayaan serta kualiti bakat tilawah dari Sarawak yang terus berkembang dan mampu bersaing di peringkat tertinggi.
Nur Syakura membawa pulang wang tunai RM20,000 serta tambahan RM10,000 bagi menunaikan ibadah haji, selain piala, cenderamata dan sijil penyertaan.
Dalam kategori sama, qari dari Perak, Cik Hasnul Taqiyuddin Cik Sazali turut diumumkan sebagai johan bagi bahagian lelaki.
Sementara itu, Selangor dinobatkan sebagai juara keseluruhan pertandingan, manakala bagi kategori hafazan juzuk 1-30, johan lelaki dimenangi Muhammad Izzul Afnan Sazali dari Wilayah Persekutuan dan johan perempuan, Dina Hadfina Mohd Umarul Hisyam dari Melaka.
Bagi kategori hafazan juzuk 1-20, Wan Syimir Muhaimin Wan Ahmad Sadaba dari Pahang dan Nur Izzati Norazmi dari Selangor masing-masing muncul johan lelaki dan perempuan.
Dalam kategori hafazan juzuk 1-10 pula, Muhammad Amnan Muhammad Sani dari Sabah serta Siti Sofiyyah Abu Bakar dari Kelantan merangkul gelaran johan bagi kategori lelaki dan perempuan.
Majlis penutup dan pengurniaan hadiah telah disempurnakan oleh Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail di Stadium Tertutup Gong Badak, Kompleks Sukan Negeri Terengganu.-EDISI UKAS