Berambih Lau Rayak Satukan Komuniti Kampung Kuala Lama
MUKAH: Majlis Berambih Lau Rayak terus menjadi wadah penting dalam memperkukuh perpaduan serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan penduduk Kampung Kuala Lama.
Majlis yang berlangsung di Dewan Seri Pekala Kuala Lama pada Sabtu itu disambut meriah dengan kehadiran penduduk setempat yang bersama-sama memeriahkan sambutan dalam suasana penuh harmoni.
Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip berkata, penganjuran majlis seumpama itu mencerminkan kesepaduan masyarakat kampung yang sentiasa bekerjasama dalam menjayakan sesuatu program.
“Usaha yang dilakukan oleh penduduk kampung dalam menjayakan majlis ini wajar dipuji kerana ia berjaya menghimpunkan komuniti dalam suasana yang penuh harmoni,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Beliau berharap agar penganjuran program sedemikian dapat diteruskan sebagai platform untuk memperkukuh perpaduan serta memupuk semangat kebersamaan dalam komuniti setempat.
Sementara itu, Ketua Kampung Kuala Lama, Junaidi @ Yakub Usop berkata, semangat kerjasama antara penduduk kampung memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran majlis tersebut.
Menurutnya, program seperti ini bukan sahaja meriah, malah mampu mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk.
"Saya berharap kerjasama antara kita semua sentiasa berkekalan," ujarnya.
Dalam majlis sama, Peleadzman turut menyampaikan duit raya hasil sumbangan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Lama kepada kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah.
Turut diadakan ialah Pertandingan Lampu Raya dan Bertuntung, dengan Zainal Laily muncul juara, diikuti Affendi Morsidi di tempat kedua dan Rohaya Tarmizi di tempat ketiga.-EDISI UKAS