76 Murid Di Sarikei Terima Biasiswa Tempatan Yayasan Sarawak
SARIKEI: Seramai 76 murid di daerah Sarikei menerima Biasiswa Tempatan Yayasan Sarawak berjumlah RM60,800, manakala 70 daripada 994 murid menerima bantuan pakaian seragam bernilai RM192,800 pada Majlis Penutupan Program Kesedaran Pendidikan Sarawak 2025 di Dewan Sentral Sarikei pada Sabtu.
Majlis penutupan tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa inisiatif seumpama ini bukan sahaja meringankan beban ibu bapa, malah memberi semangat kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan.
Selain itu, beliau turut menekankan bahawa pendidikan di Sarawak bakal memasuki fasa baharu yang signifikan pada tahun 2026, apabila negeri ini menjadi yang pertama di Malaysia menyediakan pendidikan percuma di universiti dan institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri.
“Usaha kerajaan negeri ini adalah bukti komitmen untuk memastikan anak-anak Sarawak mendapat akses pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang,” ujarnya.
Majlis berkenaan yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Sarikei dengan kerjasama Yayasan Sarawak telah dihadiri lebih 1,000 orang, termasuk ibu bapa, pelajar serta masyarakat setempat.
Turut hadir ialah wakil Pengarah Yayasan Sarawak Nurul Kartini Abdullah, Pegawai Pendidikan Daerah Sarikei Lau Ngie Tung, Pegawai Tadbir, wakil Residen Bahagian Sarikei Donald Gani dan wakil Pegawai Daerah Sarikei Gerald Grino Apil.-EDISI UKAS