Gendang Pampat Iban Balau, JANM Sri Aman Muncul Juara Pesta Pantu 2026
PANTU: Kumpulan Gendang Pampat Iban Balau dan Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) Sri Aman masing-masing muncul juara pertandingan Gendang Pampat dan Kontinjen Paling Kreatif Kategori Agensi Kerajaan sempena Pesta Pantu 2026 Edisi Ke-17 di Panggau Pantu, di sini, pada Jumaat.
Gendang Pampat Iban Balau dari Selanjan Angkong, Sri Aman menjuarai pertandingan berkenaan menerusi persembahan bertajuk Patah Pantung/Tap Bindap yang melayakkan kumpulan itu membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 berserta piala.
Tempat kedua dimenangi kumpulan Kampung Mentu Atas menerusi persembahan Tak Tandan/Tau Mindau dengan hadiah RM1,500 dan piala, manakala Kara Merundai menduduki tempat ketiga menerusi persembahan Pit Pitu dengan hadiah RM1,000 dan piala.
Kara Merundai turut mencuri perhatian sebagai satu-satunya kumpulan wanita yang menyertai pertandingan tersebut.
Dua lagi kumpulan, Lemandau Gindang dan Batang Strap masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima dengan hadiah wang tunai RM500 serta piala.
Sementara itu, bagi acara Fun Walk Pesta Pantu 2026, JANM Sri Aman turut mengungguli kategori Kontinjen Paling Kreatif Agensi Kerajaan, diikuti Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sri Aman di tempat kedua dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Pantu di tempat ketiga.
Kategori Kontinjen Paling Kreatif Komuniti pula dimenangi Rumah Augustine Entika, Kampung Rapak, manakala Kampung Mentu Punggu, Pantu dan Komuniti Keranggas masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Bagi kategori Sepanduk Paling Kreatif, JTS Sri Aman muncul juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM300 dan piala.
Tempat kedua dimenangi Enchiap Sayuh dengan hadiah RM200, manakala SJK Chung Hua Pantu menduduki tempat ketiga dengan hadiah RM150.
Penyampaian replika cek hadiah wang tunai dan piala kepada para pemenang disempurnakan Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh.
Hadir sama Pegawai Daerah Pantu, Maca Mulong.- EDISI UKAS