MA63 Tentukan Kuasa Sarawak Dalam Pentadbiran, Pengurusan Hasil Negeri
MIRI: Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mempunyai kaitan langsung dengan kuasa Sarawak dalam pentadbiran, pengurusan hasil negeri dan penentuan hala tuju pembangunan, termasuk keupayaan membiayai keperluan rakyat.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, pemahaman mengenai MA63 penting supaya rakyat mengetahui hak negeri serta kedudukan Sarawak dalam pembentukan Malaysia.
Menurutnya, perjuangan menuntut pelaksanaan MA63 bukan sekadar berkaitan sejarah, sebaliknya memberi kesan kepada keupayaan kerajaan negeri mengurus sumber dan memperkukuh kedudukan kewangan Sarawak.
“Pengiktirafan kedudukan MA63 dalam Perlembagaan Persekutuan pada 2021 merupakan perkembangan penting yang menyediakan asas perundangan lebih kukuh bagi pelaksanaan hak Sarawak seperti yang termaktub dalam perjanjian berkenaan.
“Antara perkara yang diberi perhatian ialah autonomi imigresen Sarawak serta hasil cukai jualan negeri yang menyumbang kira-kira RM4 bilion setahun,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Wacana Kenegaraan MA63 Dalam Pembinaan Negara Bangsa, di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, hasil berkenaan membolehkan kerajaan negeri mempunyai keupayaan kewangan lebih besar untuk membiayai pembangunan serta memperluas penyediaan kemudahan kepada rakyat.
“Kedudukan kewangan itu turut menyokong pelaburan dalam pembangunan modal insan, khususnya menerusi inisiatif pendidikan percuma dan bantuan kewangan kepada pelajar, termasuk elaun sara hidup serta bantuan tempat tinggal bagi mereka yang layak,” ujar beliau lagi.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa usaha memperjuangkan hak Sarawak tidak seharusnya dianggap bertentangan dengan perpaduan nasional, sebaliknya merupakan sebahagian daripada usaha membentuk Persekutuan Malaysia yang lebih adil dan seimbang. -EDISI UKAS