Seni Pembuatan Kasut Buka Ruang Bakat Tempatan Teroka Industri Kreatif
KUCHING: Seni pembuatan kasut berpotensi membuka ruang lebih luas kepada bakat tempatan untuk meneroka industri kreatif menerusi penguasaan kemahiran, pendidikan praktikal dan pendedahan kepada pengalaman industri.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, pembangunan bakat kreatif memerlukan kerjasama erat antara institusi pendidikan, tenaga pengajar, rakan industri dan penggiat seni bagi mewujudkan lebih banyak peluang kepada masyarakat.
Menurut Datuk Snowdan, pemerkasaan bukan sekadar memberikan peluang kepada seseorang menghasilkan produk, tetapi turut melibatkan akses kepada ilmu, pembinaan keyakinan serta keupayaan membuat keputusan untuk membentuk masa depan sendiri.
“Pemerkasaan bukan sekadar memberikan seseorang peluang menghasilkan sesuatu produk, tetapi turut menyediakan akses kepada ilmu, membina keyakinan, mengembangkan keupayaan membuat keputusan dan membolehkan mereka membentuk masa depan sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Ketua Penolong Setiausaha, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dr Elena Gregoria Chai pada majlis perasmian Sarawak Sole Story 2026 di The Hills, Kuching, pada Jumaat.
Beliau turut menekankan kepentingan pendedahan kepada pengalaman antarabangsa bagi membolehkan bakat tempatan mengembangkan pengetahuan dan kemahiran tanpa mengetepikan identiti serta keunikan tersendiri.
Tambahnya, kerjasama antara institusi pendidikan, rakan industri dan penggiat kreatif mampu menghubungkan bakat, pengetahuan serta peluang dalam ekosistem industri kreatif yang lebih luas.
“Melalui kerjasama, kita dapat mewujudkan platform yang bukan sahaja mempamerkan hasil kreativiti, malah menghubungkan bakat, pengetahuan dan peluang dalam ekosistem kreatif yang lebih luas,” katanya.
Berlangsung dari 13 hingga 15 November, Sarawak Sole Story 2026 bertemakan Forging Ahead Together – Celebrating Sarawak Artisanship with an International Perspective menghimpunkan pelajar dan graduan program Sijil Seni Pertukangan Kasut (CSMA) di CENTEXS.
Pameran berkenaan menampilkan hasil rekaan kasut daripada graduan Kohort 1, 2 dan 3 serta pelajar Kohort 4 dan 5, sekali gus memberi peluang kepada mereka memperkenalkan kemahiran dalam aspek pemilihan bahan, teknik pembuatan, pembinaan dan reka bentuk kasut.
Antara tarikan utama ialah persembahan kasut hasil kerjasama CSMA dan TVS sempena Anugerah Industri Muzik Ke-25 (AIM25) yang menggabungkan seni pembuatan kasut dengan elemen muzik dan fesyen.
Program turut merangkumi sesi perkongsian pembangunan belia, demonstrasi pembuatan kasut serta persembahan Musical Fashion Presentation pada Sabtu dan Ahad.
Turut hadir Ketua Pemasaran dan Komunikasi TVS Sarawak Iszarul Japar, Ketua Kampus CENTEXS Lundu merangkap Pengajar Utama, Industri dan ESG CENTEXS Kuching Dr Nor Asikin Abdul Rahman, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Prodigy Music Centre Sharnaz Saberi wakil Waris dan Co Warziedea Ahmad serta Penyelaras Utama program CSMA di CENTEXS Dodi Mohammad.- EDISI UKAS