Pengukuran Tanah NCR Dipertingkat, Percepat Pengeluaran Hak Milik Kepada Penduduk
PUSA: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh pengiktirafan hak masyarakat terhadap Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) melalui proses pengukuran yang teratur dan telus bagi memastikan pemilikan tanah penduduk yang layak dapat disahkan mengikut peruntukan undang-undang.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerajaan negeri komited memastikan hak masyarakat terhadap tanah NCR diiktiraf berdasarkan bukti kukuh serta pematuhan kepada Kanun Tanah Sarawak (KTS).
Menurutnya, pelaksanaan inisiatif baharu termasuk kaedah pengukuran secara individu turut membantu mempercepat proses pengeluaran surat hak milik tanah kepada penduduk yang layak.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah (SHT) Seksyen 18 KTS bagi kawasan Beting Maro di Dewan Komuniti Kampung Pusa, di sini, Jumaat.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) membantu penduduk di rumah panjang dan kampung tradisional mengemukakan permohonan berkaitan tanah NCR supaya proses pengiktirafan hak dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.
Datuk Amar Awang Tengah turut menegaskan bahawa pemilikan tanah yang sah memberikan jaminan keselamatan kepada pemilik, selain membuka peluang kepada mereka memanfaatkan tanah berkenaan untuk kepentingan jangka panjang.
Sementara itu, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong, TPr. Moris Nayup berkata, majlis berkenaan merupakan majlis penyerahan SHT keenam yang dilaksanakan pada 2026, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam menjaga kebajikan rakyat serta mengiktiraf hak pemilikan tanah.
Beliau berkata, Jabatan Tanah dan Survei akan terus mempertingkat proses pengukuran serta penyampaian maklumat kepada masyarakat bagi memastikan urusan berkaitan tanah dapat dilaksanakan dengan lebih cekap.
Pada majlis itu, seramai 331 penduduk menerima SHT melibatkan 471 lot tanah berkeluasan keseluruhan kira-kira 330.17 hektar.-EDISI UKAS