Pesta Pantu 2026 Edisi Ke-17 Buka Tirai Selepas Dua Kali Ditangguhkan
PANTU: Pesta Pantu 2026 Edisi Ke-17 membuka tirai pada Jumaat selepas dua kali ditangguhkan, dengan 13 acara menarik disediakan sepanjang tiga hari penganjurannya sehingga 15 November ini.
Majlis Pra-Perasmian pesta berkenaan disempurnakan Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh di Panggau (Pentas) Pantu, Pekan Pantu di sini pada Jumaat.
Terdahulu, Mahra menyempurnakan upacara pelepasan peserta Fun Walk sejauh dua kilometer yang melibatkan 233 peserta daripada 17 kontinjen pada sebelah pagi.
Beliau turut menyertai aktiviti berkenaan bersama Pegawai Daerah Pantu, Maca Mulong, dengan laluan bermula dari Panggau Pantu melalui jalan lama dan Pekan Pantu sebelum kembali ke lokasi asal kira-kira 8.30 pagi.
Majlis pra-perasmian diteruskan pada 9 pagi menerusi upacara simbolik paluan gong, diikuti penyampaian hadiah cabutan bertuah kepada peserta.
Program turut diserikan dengan Pertandingan Gendang Pampat Pesta Pantu 2026 serta penyampaian hadiah kepada pemenang acara Fun Walk dan pertandingan berkenaan.
Mahra dan rombongan kemudian melawat reruai Pameran Agensi sebelum menghadiri jamuan makan tengah hari.
Pesta yang dahulunya dikenali sebagai Pesta Ikan Tapah Pantu itu menampilkan 13 acara merangkumi pertandingan kebudayaan, sukan, hiburan dan aktiviti ekonomi komuniti.
Antara acara yang dianjurkan ialah Pertandingan Gendang Pampat, Pertandingan Ratu Etnik, Pertandingan Pantu Idol, Pertandingan Karaoke Kilauan Emas, Pertandingan Pantu Junior Idol serta Pertandingan Mewarna dan Melukis Poster Pesta Pantu 2026.
Turut diadakan ialah Fun Walk Pesta Pantu 2026, Libas @ Sepak Takraw Pesta Pantu 2026, Soccer Kids Junior Bawah 12 Tahun (U12), Jualan Bazar Ria, Gerai Jualan Komuniti, Pameran Agensi dan Pentas Hiburan.
Gerai Jualan Komuniti merupakan acara baharu yang diperkenalkan pada edisi kali ini bagi melengkapi pengisian pesta berkenaan.- EDISI UKAS