Ekspo Pendidikan Samarahan 2025 Perkukuh Akses Kepada Peluang Pendidikan Berkualiti
KOTA SAMARAHAN: Penganjuran Ekspo Pendidikan Yayasan Sarawak Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Samarahan 2025 disifatkan sebagai satu usaha strategik dalam memperkukuh akses kepada peluang pendidikan berkualiti untuk seluruh lapisan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim, berkata ekspo seumpama ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran terhadap pelbagai kemudahan pendidikan yang ditawarkan oleh kerajaan, malah turut memberi pendedahan kepada pelajar, ibu bapa dan komuniti mengenai kepentingan peranan bersama dalam pembangunan pendidikan negeri.
“Pendidikan adalah teras utama pembangunan negeri demi melahirkan generasi berilmu dan berkemahiran.
“Melalui program seperti ini, kita bukan sahaja membuka laluan kepada pelajar untuk meneroka peluang masa depan, tetapi juga memperkukuh sokongan komuniti dalam menjayakan agenda pendidikan Sarawak,” katanya ketika merasmikan ekspo tersebut di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Samarahan, pada Sabtu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pegawai Pendidikan Daerah Samarahan, Shbini Saini serta Jawatankuasa Pengelola kerana berjaya menganjurkan program yang disifatkan komprehensif dan bermanfaat kepada masyarakat.
Datuk Hamzah menegaskan, kejayaan pendidikan hanya mampu dicapai melalui kerjasama semua pihak – kerajaan, institusi pendidikan, ibu bapa dan komuniti.
“Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Semangat kerjasama inilah yang menjadi kunci kepada kemajuan pendidikan Sarawak,” ujarnya.
Mengulas aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), beliau berkata penguasaan kemahiran digital dalam kalangan generasi muda amat kritikal kerana peluang kerjaya masa depan semakin dipacu oleh sektor berteknologi tinggi.
Beliau menambah, kerajaan Sarawak akan terus melabur dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), memperkukuh kemudahan pembelajaran digital, serta memastikan guru-guru sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi.
Dalam masa sama menurutnya, Yayasan Sarawak akan terus menyediakan skim biasiswa dan bantuan pendidikan kepada pelajar daripada keluarga B40.
Beliau menjelaskan, antara inisiatif yang ditawarkan menerusi program ini termasuk peluang mengikuti Program Bahasa Inggeris (EEP) secara percuma di Swinburne, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan Universiti Curtin, bantuan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan institusi kemahiran bernilai RM1,000 hingga RM1,500, serta subsidi 80 peratus yuran pengajian di bawah skim Bursari BP40.
“Setiap pelaburan dalam pendidikan adalah pelaburan untuk masa depan yang lebih baik,” tegas beliau sambil memetik kata-kata Nelson Mandela bahawa pendidikan adalah senjata paling ampuh untuk mengubah dunia.
Datuk Hamzah turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Jabatan Pendidikan Negeri, Yayasan Sarawak, Institut Aminuddin Baki serta agensi terlibat yang telah bertungkus-lumus menjayakan ekspo ini.
Pada majlis tersebut, turut diadakan Penyampaian Bantuan Pakaian Seragam untuk Daerah Samarahan berjumlah RM269,600 kepada 1,348 pelajar serta Biasiswa Tempatan bernilai RM105,600 kepada 132 pelajar yang disalurkan melalui Yayasan Sarawak.-EDISI UKAS