Komuniti MADANI Satukan Rakyat Stakan Sempena Hari Kebangsaan
KOTA SAMARAHAN: Gelanggang Sepak Takraw Kampung Stakan Melayu bergema dengan semangat patriotisme apabila ratusan penduduk setempat hadir memeriahkan Program Jiwa@Komuniti MADANI Sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025, anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) dengan kerjasama Komuniti MADANI Kampung Stakan Melayu pada Ahad.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim yang menegaskan bahawa Sarawak adalah wilayah penting dalam pembentukan Malaysia menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjamin hak negeri itu dalam Persekutuan.
“Tidak kira apa jua tema sambutan, kita mestilah bersatu hati supaya Sarawak terus disegani dan dihormati. Saya melihat penganjuran program atas nama komuniti ini berjaya kerana ia menghimpunkan pelbagai pihak dan menarik penyertaan ramai penduduk kampung. Syabas kepada masyarakat Kampung Stakan kerana sambutannya sentiasa baik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada JaPen sebagai agensi persekutuan yang dekat dengan masyarakat luar bandar kerana memainkan peranan penting dalam menyampaikan dasar kerajaan serta menyeru penduduk terus bekerjasama dengan agensi lain termasuk KEMAS dalam mendidik generasi muda.
Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Samarahan, Abdul Latip Shamsuddin, berkata Komuniti MADANI berfungsi sebagai badan sukarela yang menghubungkan kerajaan dengan rakyat, melibatkan pelbagai kaum, agama dan budaya dengan JaPen sebagai penggerak utama.
Menurutnya, program Jiwa@Komuniti MADANI menjadi platform komunikasi dua hala yang berkesan kerana dasar kerajaan dapat disampaikan secara jelas, manakala maklum balas rakyat juga didengar secara langsung.
“Di Samarahan sahaja terdapat 12 Komuniti MADANI di bawah JaPen dan setiap satu melaksanakan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia sepanjang Ogos hingga 16 September. Tema tahun ini, Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni, menekankan nilai kasih sayang, toleransi dan kerjasama dalam masyarakat majmuk,” ujarnya.
Selain itu, inisiatif 1Rumah 1Jalur Gemilang (1R1JG) turut digerakkan bagi menyemarakkan semangat patriotisme melalui pengibaran bendera di setiap kediaman.
Bagi memeriahkan acara, pelbagai aktiviti menarik dianjurkan termasuk hebahan awam, edaran bahan penerbitan, senamrobik, pertandingan mewarna kanak-kanak dan ibu bapa, pakaian beragam, basikal berhias merdeka, gotong-royong menghias kampung serta perarakan sambutan HKHM.
Turut hadir, Pengerusi Kelab KMKK DUN Stakan merangkap Penghulu Kampung Pangkalan Kuap, Buhari Abu Sapian, Ketua Kaum Kampung Stakan Melayu merangkap Ketua Komuniti MADANI Kampung Stakan Melayu, Mohamad Subari Beni, Ketua Kaum Kampung Pangkalan Kuap, Sabawi Bahar, Ketua Kaum Kampung Bukit Berangan, Rizal Abu Seman, Ketua Kaum Kampung Sungai Pendam, Farida Zainuddin, Ketua Wanita PBB Cawangan DUN Stakan, Lela Adini, Ketua Pemuda PBB Cawangan DUN Stakan, Mohd Azmizan Karim serta Ketua Ranting PBB Kampung Stakan Melayu, Hepni Amat.-EDISI UKAS