BANDAR SERI BEGAWAN: Miri FA muncul juara edisi sulung Liga Piala Lela Cheteria 2025 anjuran Yakin Football League selepas menewaskan pasukan tuan rumah, Kasuka FC dengan keputusan 3-2 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Padang & Belapan, Kompleks Sukan Berakas, di sini pada Ahad.
Perlawanan penuh mendebarkan itu disaksikan oleh Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Haji Abu Bakar, yang turut menyempurnakan majlis penutup kejohanan berprestij tersebut.
Aksi dramatik bermula seawal saat ke-25 apabila penyerang Miri FA, Abdul Rafiq, meledak jaringan pantas sebelum sekali lagi menambah gol pada minit ke-47.
Gol kemenangan Miri FA disempurnakan oleh Ahnaf pada minit ke-74.
Manakala Kasuka FC sempat merapatkan jurang hasil jaringan kedua Mohd Reza di minit ke-54.
Keputusan akhir 3-2 memihak kepada Miri FA sekali gus menobatkan mereka sebagai juara edisi pertama kejohanan tersebut.
Turut hadir memberi sokongan ialah Pengurus Pasukan Miri FA, Sonie Sekan dan Presiden Miri FA, Muhamad Saif Jubaidi.
Justeru, Miri FA berjaya membawa pulang piala, medal dan wang tunai Brunei Dollar $5,000.00, manakala Limbang FA meraih tempat kedua dan PKT FT di kedudukan ketiga.
Penganjuran kejohanan ini bukan sahaja mencungkil bakat baharu bola sepak di rantau Borneo, malah mengeratkan hubungan persahabatan antara pasukan dari Malaysia dan Brunei Darussalam.-EDISI UKAS