140 Pelajar Terima Biasiswa Sarawak Energy 2025, RM16 Juta Diperuntukkan Setahun
KUCHING: Seramai 140 pelajar cemerlang menerima Biasiswa Sarawak Energy 2025 pada Majlis Anugerah Biasiswa Sarawak Energy yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, pada Khamis.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili berkata, Sarawak Energy sejak tahun 2022 telah memperuntukkan RM16 juta setahun untuk program berkenaan, berbanding RM8 juta ketika ia mula diperkenalkan pada 2014.
Menurut beliau, program biasiswa itu menjadi teras pelaburan sosial syarikat dengan memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan dan modal insan Sarawak.
“Sejak penubuhannya, kami telah melabur kira-kira RM102 juta dalam 1,325 penerima biasiswa Sarawak Energy.
“Ini termasuk 194 biasiswa yang dianugerahkan kepada pekerja kami – memberi mereka peluang melanjutkan pelajaran di bawah Program Pendidikan Berterusan kami,” katanya semasa berucap dalam majlis berkenaan.
Datuk Sharbini menjelaskan, biasiswa tersebut telah membantu ramai belia Sarawak dalam mengikuti pendidikan sarjana muda dan lepasan ijazah dalam sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) termasuk kelestarian, tenaga boleh diperbaharui serta sains komputer di institusi akademik tempatan dan luar negara.
Pada tahun ini menurutnya, program biasiswa turut menekankan aspek keterangkuman dengan 48 peratus penerima terdiri daripada pelajar wanita, manakala 20 peratus berasal daripada komuniti luar bandar di kawasan operasi Sarawak Energy seperti Mukah, Bintulu, Kapit, Belaga, Baram dan Lubok Antu.
Ujar beliau lagi, selain pembiayaan, penerima biasiswa juga diberi peluang menjalani latihan industri bersama Sarawak Energy untuk memperkukuh kemahiran dan pengalaman praktikal sebelum memasuki alam pekerjaan.
Setakat ini katanya, 76 peratus bekas penerima biasiswa telah berkhidmat dengan Sarawak Energy, sekali gus menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja tempatan
Selain program biasiswa, beliau menambah, Sarawak Energy turut melaksanakan program dermasiswa yang telah memberi manfaat kepada 781 pelajar dari 15 sekolah di seluruh Sarawak sejak 2019, termasuk 89 penerima baharu pada tahun ini.
Sarawak Energy juga menyediakan dana pendidikan tahunan berjumlah RM1.5 juta khusus untuk komuniti luar bandar dengan lebih RM5.7 juta telah diagihkan sejak 2016, katanya.-EDISI UKAS