Pelajar UPSI Diajak Bantu Promosi Inisiatif Kerajaan Sarawak
KUCHING: Pelajar Sarawak yang menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diajak agar membantu mempromosi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri kepada rakan-rakan pelajar lain.
Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata UKAS menyediakan pelbagai hebahan dan informasi mengenai inisiatif-inisiaitif kerajaan Sarawak menerusi laman sesawang rasmi dan pelbagai platform beritanya.
Menurut beliau, inisiatif pendidikan percuma Sarawak yang mula dilaksanakan pada tahun depan sangat penting untuk dikongsikan kepada semua pelajar negeri ini.
Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat delegasi UPSI di Pejabat UKAS di sini pada Jumaat.
Delegasi UPSI diketuai Penyelaras Pusat Kesejahteraan Sosiobudaya Malaysia UPSI Prof. Madya Dr. Samsudin Suhaili.
Awang Putrayusrie turut menyarankan kepada UPSI agar menjadikan UKAS sebagai rakan strategik bagi menyebarluaskan lagi peranan dan fungsi unit tersebut kepada pelajar di universiti berkenaan.
Dalam pada itu, Dr. Samsudin menyambut baik kolaborasi tersebut sambil menyifatkannya langkah penting yang akan membantu memperkukuhkan lagi peranan UPSI di negeri ini.
Beliau turut mempelawa UKAS untuk mengadakan program bersama pelajar UPSI di kampus tersebut di masa akan datang bagi mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua pihak. - EDISI UKAS