Seni Tarian Satukan Komuniti Serantau di Dance In Borneo 2.0
MIRI: Dance In Borneo 2.0 “Modern Dance Competition” sekali lagi mencuri tumpuan apabila berjaya menarik penyertaan 26 kumpulan dari dalam dan luar negara ke Stadium Bandaraya Miri pada Sabtu, dengan kehadiran lebih 1,000 penonton.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, menzahirkan rasa bangga dan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan acara tersebut.
Beliau berkata, kejayaan menganjurkan edisi pertama pada 2023 dengan penyertaan 20 pasukan menjadi titik permulaan yang membanggakan.
Manakala edisi tahun ini lebih bermakna apabila berjaya menarik 26 kumpulan tarian dari Sarawak, Sabah, Kuala Lumpur dan negara jiran Indonesia.
“Tarian bukan sahaja satu medium seni persembahan, tetapi juga sebuah pentas untuk kita mengasah bakat, memperbaiki diri serta saling bertukar pengalaman.
“Melalui pertandingan seperti ini, para penari mendapat peluang menimba ilmu, berkembang dan melangkah lebih jauh,” katanya dalam ucapan perasmian sempena program tersebut.
Datuk Sebastian turut merakamkan penghargaan kepada barisan juri antarabangsa dari Indonesia, Thailand, Korea serta Malaysia yang sanggup datang dari jauh bagi memberikan penilaian profesional dan motivasi kepada peserta.
“Saya berharap pertandingan ini bukan sahaja menjadi medan pertukaran pengalaman antara penari rantau ini, malah menjadi batu loncatan untuk mereka ke pentas antarabangsa, bagi memperkenalkan bakat dan semangat mereka kepada dunia,” tambahnya.
Beliau juga mengajak para pengunjung untuk meneroka keistimewaan Miri yang kaya dengan warisan, termasuk dua tapak warisan dunia UNESCO iaitu Gua Mulu dan Gua Niah serta kepelbagaian juadah makanan etnik yang menjadi daya tarikan pelancongan di bandar raya ini.
Pertandingan kali ini dianjurkan bersama oleh lima pertubuhan belia iaitu Persatuan Thai Poo Miri, Persatuan Chiang Hsia Huang Clan Association Miri, Miri Youth Activity Centre, Persatuan Chawan Miri serta Miri Rainbow Chorus Society, dengan pengiktirafan daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan hSeni Persembahan Sarawak.
Pertandingan tahun ini menyaksikan dua kategori iaitu K-Pop Dance Competition dengan penyertaan 15 pasukan, serta Open Showcase Dance Competition dengan 11 pasukan.
Malam kemuncaknya turut diserikan dengan persembahan khas oleh komposer kelahiran Miri, Chia Jia Wang atau lebih dikenali sebagai Keon Chia, yang pernah meraih Anugerah Lagu Asal Terbaik di Festival Filem Golden Horse ke-57.
Kehadiran Keon Chia menjadi kebanggaan kerana bakat tempatan yang kini dikenali di peringkat antarabangsa kembali ke tanah kelahiran untuk menghiburkan masyarakat.
Dengan penyertaan meriah serta sokongan masyarakat, Dance In Borneo 2.0 sekali lagi membuktikan bahawa Miri mampu menjadi tuan rumah kepada acara budaya moden berprestij, sekaligus mengangkat nama bandar raya ini sebagai hab seni dan tarian di rantau Borneo.-EDISI UKAS