Pertandingan Gendang Pampat Serlahkan Keunikan Warisan Iban di Pesta Pantu 2025
SRI AMAN: Pertandingan Gendang Pampat sempena Pesta Pantu 2025 menampilkan keunikan dan keindahan irama tradisional masyarakat Iban yang terus dipelihara serta diwarisi dari generasi ke generasi.
Antara kumpulan yang mengambil bahagian ialah Bujang Landik Kota Samarahan, Raban Gendang Pampat Samalaju Bintulu, Rabat Sigat Tuai Kampung Senangeh Sadong Jaya, Kumpulan Gendang Pampat Iban Dau, Kaul Semenyadi ASADIA, Team Gendang Pampat Iban Balau (IBCC), serta Kelab Kesenian & Kebudayaan Dayak Siol Kandis Kuching.
Setiap kumpulan tampil dengan persembahan yang tersendiri dan kreatif, mempersembahkan variasi irama gendang yang menggambarkan kepelbagaian dalam kesenian Iban.
Kumpulan Bujang Landik dari Kota Samarahan membuka tirai dengan persembahan bertajuk Alun Gelumbang Pasang dan Gendang Perang yang disusuli oleh Raban Gendang Pampat Samalaju dari Bintulu yang mencuri perhatian penonton dengan irama Pinga Batang dan Lang Ngindang Menuai Jugo.
Tidak kurang hebatnya, Rabat Sigat Tuai Kampung Senangeh Sadong Jaya menampilkan gabungan Tabiicu dan Pekok Manok Laki, manakala Kumpulan Gendang Pampat Iban Dau mempersembahkan Pekok Manuk dan Kasih Sayang Bukit Begunan.
Kaul Semenyadi ASADIA pula menerima sorakan gemuruh melalui persembahan bertajuk Timang Bekaul Ngerandang Jalai, sementara IBCC menggabungkan irama Patah Patung dan Tabindap yang memukau.
Pertandingan ditutup dengan persembahan bertenaga oleh Kelab Kesenian & Kebudayaan Dayak Siol Kandis Kuching melalui lagu Ngau Batang Brani Pulai Nguwau.
Pertandingan ini bukan sekadar pentas hiburan, malah berperanan penting dalam usaha memelihara dan memartabatkan seni warisan masyarakat Iban sekaligus menjadi wadah menggilap bakat generasi muda dan memupuk semangat perpaduan serta penghayatan terhadap identiti budaya yang kaya dan berakar umbi.
Hadir menyaksikan pertandingan berkenaan ialah Pegawai Daerah Pantu Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Pantu 2025 Raca Mulong, wakil Pegawai Daerah Lingga Nursyazani Fadli Salihin dan Walikota Majlis Daerah Sri Aman Anthony Abell Chendan. -EDISI UKAS