SARIKEI: Sambutan Hari Kebangsaan mempunyai signifikan mendalam bagi rakyat Sarawak sebagai simbol penyatuan masyarakat berbilang kaum, budaya dan agama dalam semangat Malaysia yang sebenar.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Kebangsaan 2025 Peringkat Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, tiga tarikh penting iaitu 22 Julai (Hari Sarawak), 31 Ogos (Hari Kebangsaan) dan 16 September (Hari Malaysia) perlu terus dihayati kerana ia mencorakkan jati diri rakyat, khususnya generasi muda.
“Hari Sarawak memperingati detik bersejarah apabila negeri ini memperoleh pemerintahan sendiri pada 1963. Hari Kebangsaan pula lambang kemerdekaan negara daripada penjajahan, manakala Hari Malaysia menandakan penyatuan Wilayah Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu di bawah satu negara berdaulat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 Peringkat Sarawak di sini pada Ahad.
Sambutan tersebut disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, dengan turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, barisan Timbalan Premier, Speaker DUN, pemimpin kerajaan negeri serta dif-dif kenamaan lain.
Dato Sri Fatimah menambah, Sarawak negeri yang unik kerana kepelbagaian etnik, budaya dan kepercayaan, namun rakyatnya membuktikan bahawa kepelbagaian bukan penghalang kepada perpaduan, sebaliknya menjadi sumber kekuatan sebenar.
Mengulas tema Hari Kebangsaan tahun ini, “Malaysia Madani: Rakyat Disantuni”, beliau menyeru rakyat supaya bukan sahaja menghayati kemerdekaan secara fizikal, tetapi turut membina jiwa merdeka yang cintakan keamanan, perpaduan dan kesejahteraan bersama.
Katanya, rakyat Sarawak perlu meneruskan legasi kemerdekaan dengan membangunkan negeri yang berdaya saing, maju dan bersatu padu serta memperkukuh jati diri sebagai Anak Sarawak yang bangga dengan sejarah dan tinggi semangat patriotisme.
"Kita raikan Hari Kebangsaan bukan sekadar dengan perarakan atau persembahan, tetapi dengan komitmen dan kesungguhan untuk menyumbang kepada pembangunan wilayah serta negara dalam apa jua kapasiti,” katanya.
Sepanjang Bulan Kebangsaan 2025, pelbagai pengisian telah diatur oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak bagi menyemarakkan semangat kenegaraan.
Antara program termasuk Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang, Karnival Kita MADANI, Pameran Kenegaraan, Pertandingan Pengisahan Kenegaraan@Kelab Malaysiaku 2025 Peringkat Sarawak, Kembara Merdeka Jalur Gemilang, edaran poster HKHM 2025 serta program Jiwa@Komuniti MADANI HKHM 2025.
Manakala Sarikei yang dipilih sebagai lokasi sambutan peringkat negeri, turut dimeriahkan dengan Konsert Ambang Merdeka, Unity Walk serta pelbagai persembahan dan acara menarik sempena perayaan tersebut.-EDISI UKAS