Jambatan Batang Rambungan Dijangka Siap Julai 2026, Lebih Awal Setahun
LUNDU: Projek pembinaan Jambatan Batang Rambungan dijangka siap Julai 2026, hampir setahun lebih awal daripada jadual asal iaitu Mei 2027.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, projek bernilai RM82 juta ini kini mencatat kemajuan 13.4 peratus, iaitu enam peratus lebih cepat daripada jadual.
“Kita amat berpuas hati dengan perkembangan kerja. JKR bersama kontraktor telah menetapkan sasaran baharu agar jambatan ini dapat disiapkan lebih awal daripada jadual asal.
“Kontraktor yang dilantik juga mempunyai pengalaman luas dalam pembinaan jambatan, sekali gus meningkatkan keyakinan kita terhadap keupayaan mereka,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek berkenaan pada Isnin.
Menurut Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak itu, cabaran utama projek ini adalah tenaga kerja kerana jumlah pekerja diperlukan akan bertambah apabila kerja lebih besar dimulakan.
Namun, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, kontraktor yakin perkara berkenaan boleh diatasi.
Beliau menambah, dari segi logistik pula, tiada masalah kerana bahan binaan dapat dibawa masuk mengikut spesifikasi yang ditetapkan,” jelasnya.
Beliau menegaskan Kerajaan Sarawak memberi perhatian serius terhadap aspek keselamatan dan kualiti jambatan tersebut.
Tegasnya, pemantauan projek dilaksanakan secara berterusan dan bukannya sekali-sekala bagi memastikan sebarang isu dapat dikenal pasti serta diselesaikan segera.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Dr. Cassidy Morris.-EDISI UKAS