Ceramah Perdana Maulidur Rasul 1447H Semarakkan Masjid Bandar Sri Aman
SRI AMAN: Majlis Ceramah Perdana Maulidur Rasul 1447H/2025M disambut penuh keberkatan dengan kehadiran kira-kira 200 orang jemaah yang bersama-sama mengimarahkan sambutan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. yang berlangsung di Masjid Bandar Sri Aman pada Selasa.
Ceramah perdana disampaikan oleh Imam Besar Sarawak, Sahibul Fadhilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi, yang menekankan pentingnya menzahirkan kecintaan kepada Rasulullah melalui penghayatan sunnah, istiqamah dalam ibadah serta pembinaan akhlak mulia dalam kehidupan seharian.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor, Pegawai Daerah Sri Aman Shariff Bujang serta Pemangku Pegawai Agama Islam Bahagian Sri Aman Ustazah Ellysha Razali.
Sambutan Maulidur Rasul di Bahagian Sri Aman bukan sekadar memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, sebaliknya ia menjadi wadah untuk umat Islam meningkatkan penghayatan terhadap ajaran Baginda, memperkukuh keimanan serta membentuk masyarakat yang sejahtera, harmoni dan dirahmati Allah SWT.
Penganjuran ceramah ini juga diharap dapat menyemarakkan lagi penghayatan nilai-nilai Islam dalam kalangan masyarakat serta memperkukuhkan semangat ukhuwah Islamiah di Sri Aman. -EDISI UKAS